Panduan Wiki Upin & Ipin |
---|
Log masuk Menyunting laman Mencipta laman baru Gambar (Dasar penggunaan) Laman perbincangan Panduan gaya (Episod•Watak) |
Sebelum membuat rencana baru, pastikan anda sudah membaca laman-laman buatan yang lain terlebih dahulu.
Berikut ialah panduan ringkas untuk mengarang rencana berasaskan jenis topik:
Rencana episod
Rencana episod pada asasnya terdiri daripada bahagian-bahagian pengenalan, Ringkasan dan/atau Plot, dan Video; dengan Trivia, dan Kesilapan sebagai tambahan.
PERHATIAN: Wiki ini mengambil pendekatan kisah demi kisah (bukan bahagian demi bahagian) bagi episod-episod mulai musim ke-3, yang mana sesebuah kisah dibahagikan kepada beberapa bahagian. Semua bahagian yang terdapat dalam satu-satu kisah mestilah digumpalkan dalam satu rencana. Misalnya: "Air Kolah, Air Laut" terbahagi kepada dua bahagian tetapi hanya satu rencana dibuat untuk kedua-dua bahagian dalam kisah berkenaan, bukan dua rencana yang berasingan bagi dua bahagian itu, jadi janganlah buka rencana "Air Kolah, Air Laut (bahagian 1)" dan "Air Kolah, Air Laut (bahagian 2)".
- Mulakan rencana episod dengan templat kotak info {{Episod}}. Isikan:
- tajuk episod dalam ruangan tajuk_episod;
- tarikh siaran pertama (di TV9) dalam ruangan tarikh;
- nombor musimnya dalam ruangan musim;
- nombor episod dalam musim itu dalam ruangan no_episod; dan
- gambar yang berpatutan (cekupan skrin dari episod itu) dalam ruangan imej.
- Tuliskan plot episod selengkap-lengkapnya. Anda boleh merakam episod itu dari TV, melayari laman sesawang Tonton atau akaun rasmi Les' Copaque di YouTube, atau membeli DVD untuk meneliti episod-episod Upin & Ipin, dan menghuraikan satu demi satu babak dengan padat dan menyeluruh di bawah tajuk kecil Plot dalam rencana episod. Anda tidak dihalang daripada merujuk video cetak rompak, tetapi ingat, video cetak rompak tidak boleh dipautkan ke sini! Penulisan plot yang sebaiknya mungkin mengambil masa 1½–2 jam tanpa henti untuk bahan 30 minit.
- Jika tiada masa atau sekadar malas hendak menulis plot sedemikian, apa kata anda tulis pula ringkasan yang mengetengahkan elemen-elemen terpenting dalam jalan cerita dalam satu perenggan empat lima baris. Semoga pada masa yang akan datang, anda atau ahli yang lain akan mengembangkan ringkasan itu menjadi plot yang cukup lengkap.
- Anda juga boleh membuka tajuk kecil Trivia untuk menyatakan perkara-perkara menarik dalam episod yang tidak berkenaan dengan plot; dan juga Kesilapan untuk menerangkan kesilapan atau kemusykilan animasi atau penceritaan yang terdapat pada episod itu.
- Rencana boleh diakhiri dengan pembenaman video dari akaun YouTube rasmi Les' Copaque di bawah sekali rencana. Tekan butang Video di kanan, isikan URL video dalam ruangan pertama dan setkan video itu supaya terjajar ke sebelah kiri demi kekemasan. Sekali lagi kami ingatkan, jangan taruh video cetak rompak!
Rencana watak
Rencana watak pada asasnya terdiri daripada bahagian-bahagian pengenalan, Rupa, dan Perwatakan, dengan Galeri sebagai tambahan.
- Mulakan rencana watak dengan templat kotak info {{watak}}. Isikan:
- nama watak dalam ruangan nama;
- gambar terbaik bagi watak itu dalam imej;
- episod penampilan pertama watak itu dalam ruangan pertama;
- pelakon suaranya dalam ruangan pertama;
- ahli-ahli keluarganya dalam ruangan keluarga.
- Perenggan pertama rencana watak haruslah merupakan satu ringkasan bagi watak itu; nyatakan hubungannya dengan watak utama (Upin dan Ipin) ataupun kawan terdekatnya, pekerjaannya dan satu dua sifat perwatakannya yang paling menonjol.
- Di bawah tajuk kecil Rupa, huraikan bentuk muka, bentuk badan, gaya rambut dan pakaian watak itu sebaiknya.
- Di bawah tajuk kecil Perwatakan, sila pastikan anda menghafal perwatakan watak itu selama anda mengikuti siri Upin & Ipin, dan huraikan selengkapnya sifat-sifat dan perilaku lazim yang terdapat pada watak itu.
- Rencana watak boleh diserikan dengan Galeri yang mengandungi pelbagai gambar menarik tentang watak berkenaan.