Upin & Ipin Wiki
Register
Advertisement

"Dulu dan Sekarang" (tiga bahagian) merupakan episod ke-31, ke-32 dan ke-33 dalam musim ke-9 daripada siri Upin & Ipin.

Ringkasan[]

Bekalan air terputus di kampung dek kemarau, menyebabkan penduduk kampung serba dalam kesusahan, apalagi anak-anak muda seperti Upin dan Ipin yang bersusah-payah terpaksa tolong menadah air. Kesusahan ini mendorong orang-orang tua untuk bercerita tentang zaman lampau mereka yang hidup serba bertungkus-lumus tetapi bahagia tanpa kemudahan-kemudahan moden yang ada sekarang.

Plot[]

Bahagian 1[]

Upin dan Ipin hendak membasuh kaki setelah puas bermain, tetapi tiada air yang keluar dari pili di halaman rumah. Apabila ditanyakan kepada Kak Ros di anjung, jawabnya bekalan air terputus. Upin dan Ipin hendak menaiki anjung, tetapi dibentak oleh Kak Ros supaya mereka masuk ikut belakang kerana kotor.

Maka Upin dan Ipin masuk rumah di belakang dan diberi besen air oleh Opah untuk membasuh kaki. Opah berpesan supaya jangan membazir air kerana bekalan air tiada. Namun demikian Upin dan Ipin terlupa untuk membasuh kaki, leka menyiram sarang labah-labah di bilik air. Kak Ros pun menghentikan perbuatan itu dan menyuruh adik-adiknya pergi menadah air dari lori air.

Setelah Upin dan Ipin pulang dari lori air, Kak Ros mendapati baldinya berisi separuh sahaja. Keluh Upin dan Ipin, baldi terlalu berat jika diisi penuh, jadi mereka membuang air di tengah jalan hingga separuh supaya ringan. Kak Ros geram kerana tindakan mereka membazir, tetapi Opah pula bertegur sepatutnya Ros pergi mengambil air kerana adik-adik masih kecil. Ros mengaku takut akan selaran matahari, maka dia diejek oleh adik-adiknya.

Waktu petang, sementara menunggu Tok Dalang menjemput, Upin dan Ipin melayan cerita Opah waktu kecil yang ketika tiada bekalan air, di mana Opah mengambil air dari perigi. Dengan kerja perigilah Opah dapat bergaul dengan kawan-kawan.

Akhirnya Tok Dalang tiba dengan motosikal membawa Upin dan Ipin untuk makan ABCD di gerai Muthu. Namun nikmat mereka bertiga dengan pencuci mulut diganggu oleh Abang Salleh yang kebetulan berada di sana dengan komputer ribanya, merungut akan terputusnya bekalan Internet jadi tidak boleh berniaga. Tok Dalang menegur Salleh bahawa orang tiada Internet pun tidak susah bekerja. Salleh membalas bergumam dengan geram, "orang tua tak akan faham," membangkitkan kemarahan Tok Dalang.

Bahagian 2[]

Tok Dalang bersama Muthu memarahi Salleh kerana memandang rendah kepada orang tua yang dulu-dulu tidak dapat menikmati kemudahan zaman sekarang, sebaliknya mereka bergantung pada otak dan tenaga sendiri untuk berjaya hingga sekarang.

Salleh, Upin dan Ipin pun teragak-agak bagaimana hidup orang zaman dahulu tanpa kemudahan serba-serbi sekarang. Tok Dalang menunjuk ke arah sebuah pondok telefon awam usang yang dahulu pernah menjadi tempat tumpuan orang ramai yang beratur panjang-panjang untuk menelefon, bahkan di situlah Muthu berkenalan dengan isterinya.

Salleh menerangkan bahawa bezanya dengan orang-orang tua ialah, Salleh usahawan global yang tak boleh berniaga tanpa Internet, sedangkan Tok Dalang dan Muthu tidak memerlukan kemudahan Internet kerana mereka berniaga dalam kampung sahaja. Belum selesai mereka bersembang, Muthu terpaksa menutup gerainya awal kerana bekalan air terputus.

Pada waktu malam, bekalan air dipulihkan, tetapi makan malam lambat dimasak. Makan malam ini, Ros memasak nasi goreng dan ayam goreng untuk semua, tapi dengan satu kelainan - dia menggunakan bahan perencah paket untuk memasak. Selepas masak, Ipin tidak sabar-sabar menjamah ayam goreng itu, tetapi rasanya pedas tak dijangka!

Bahagian 3[]

Opah hairan dan kagum melihat Ros begitu senang memasak dengan perencah baru itu, lalu bercerita tentang kehidupannya masa muda dahulu, apabila dia terpaksa bersusah-payah untuk bercucuk tanam atau menangkap ayam sendiri kerana tidak mampu membeli di pasar, bahkan terpaksa membuka api dengan kayu untuk memasak kerana zaman dahulu tiada mesin dapur.

Keesokan harinya, Upin dan Ipin melihat Rembo mengheret keluar suatu alat aneh yang berupa dua buah tin kosong diikat dengan tali dari stor Tok Dalang. Maka mereka mengusik ayam jantan itu untuk mendapatkan alat itu. Tok Dalang pun keluar dari stor untuk menerangkan bahawa alat itu merupakan telefon mainan dari zaman dahulu yang hendak dibuangnya, tetapi Upin dan Ipin hendak mengambilnya. Maka Tok Dalang mengajarkan cara bermain telefon tin kepada mereka.

Kelak Upin dan Ipin berkongsi telefon tin dengan kawan-kawannya. Semua kawan-kawan teruja bermain dengan telefon tin, kecuali Ehsan yang lambat menyambutnya kerana leka dengan permainan telefon pintar hingga baterinya habis.

Telefon tin itu pun dibawa pulang ke rumah Upin dan Ipin untuk berkongsi dengan Opah. Opah bercerita bahawa masyarakat kampung zaman dahulu sering bermain beramai-ramai dengan pelbagai permainan tradisional, malah ini mengeratkan lagi hubungan sesama jiran. Malangnya keseronokan dengan telefon tin dipatahkan apabila Kak Ros keluar dari koridor berlagak macam selebriti undangan hendak memotong reben di majlis pelancaran, menggunting tali telefon yang menghalang jalannya.

Video[]

Teaser_Upin_&_ipin_Musim_9_-_Dulu_dan_Sekarang

Teaser Upin & ipin Musim 9 - Dulu dan Sekarang


Tonton di RCTI+[]

Advertisement