Wikia

Upin & Ipin Wiki

Garang ke Sayang?

Bincang0
160laman di
wiki ini
"Garang ke Sayang?"
Episod Upin & Ipin
No. episod 22, 23, 24
Tarikh siaran asal 19 November 2011

"Garang ke Sayang?" ialah episod yang ke-22, ke-23 dan ke-24 dalam musim kelima siri Upin & Ipin dan Kawan-Kawan. Ia disiarkan di TV9 pada 19 November 2011, pukul 5.30 petang.

PlotSunting

Bahagian 1Sunting

Pada suatu pagi, Upin dan Ipin disaji nasi lemak sebagai sarapan. Ipin meminta kebenaran Kak Ros untuk bermain di rumah Ehsan, tetapi Kak Ros memesan adik-adiknya untuk mencuci kasut sekolah mereka yang kotor "macam belacan" itu. Upin dan Ipin senang-senang menerima arahan kakak mereka kerana mereka selalu mencuci kasut, tetapi kasut-kasut mereka kali ini lebih kotor daripada biasa, sampai mereka berdua tergamam! Ini adalah kerana mereka leka mengejar katak di atas kelopak lumpur sambil memakai kasut itu pada beberapa hari sebelumnya.

Ketika tengah tergamam mengenang sebab kasut mereka jadi kotor, Upin dan Ipin dikejutkan dengan deruman motosikal merah yang ditunggang oleh Tok Dalang yang sedang dalam perjalanan ke kebun pisang. Adik-beradik kembar itu memohon untuk diajak sekali, maka dengan senang hati Tok Dalang mengajak mereka ke sana, tetapi Upin dan Ipin tidak lupa untuk memberitahu Kak Ros bahawa mereka akan mencuci kasut selepas mereka balik dari kebun.

Dari rumah mereka ke kebun itu, Upin dan Ipin berlumba-lumba mengejar motosikal Tok Dalang. Setibanya di kebun, Upin dan Ipin kepenatan pula, jadi Tok Dalang memesan mereka untuk berehat dahulu sementara dia mengebas setandan pisang. Selepas itu, dia meletakkan setandan pisang atas bangku dan mengajak Upin dan Ipin melihat kerja memotong pisang.

Ketika mendekati sebatang pokok pisang, Upin bertanya apa benda merah di bawah tandanan pisang. Jawab Tok Dalang, itu ialah "jantung pisang" yang boleh dijadikan makanan. Masa untuk Tok Dalang mengebas pokok pisang, Upin menyuruhnya jangan tebang pula kerana menyangka pokok itu boleh berbuah lagi. Pesan Tok Dalang, pokok pisang hanya berbuah sekali dan perlu ditebang selepas berbuah; jika tidak, pokok itu akan menjadi busuk dan menjangkiti pokok-pokok lain. Setelah mendengar penjelasan itu, Upin mempersilakan Tok Dalang untuk menebang pokok itu untuk Upin dan Ipin mengambil tandanan dan daun pisangnya. Daun pisang dipetik untuk bermain tarik upih bersama Tok Dalang.

Sebelum pulang ke rumah, Upin dan Ipin rajin menanam keratan pisang di atas tanah kosong, sampai seluruh badan mereka kotor. Setibanya di rumah, Tok Dalang memberi adik-beradik kembar itu upah sesikat pisang seorang. Ketika itu, cuaca sudah mendung dan mulai hujan. Upin dan Ipin menunjukkan pisang itu kepada Kak Ros di dapur, tetapi Kak Ros marah melihat kecomotan adik-adiknya dan menyuruh mereka mandi, dan juga mengingatkan mereka tentang kasut mereka. Hari sudah hujan, jadi tak sempatlah kasut itu kering selepas dicuci. Tetapi Ipin memujuk Upin supaya tidak menghiraukan kasut itu lagi kerana mengharapkan sikap lembut Cikgu Jasmin.

Bahagian 2Sunting

Keesokan hari, Upin, Ipin dan kawan-kawan bersekolah lagi di Tadika Mesra. Sebelum kelas bermula, Ehsan sempat memperagakan jam tangan digital barunya yang serba canggih kepada kawan-kawannya. Jam tangan ini bersuara dan mampu memancarkan laser untuk bermain-main. Ketika leka bermain, murid-murid dikejutkan dengan kedatangan Guru Besar ke bilik darjah mereka. Wajah Guru Besar yang garang serta badannya yang gemuk membuat murid-murid rasa gerun menyambut ketibaannya. Guru Besar menjelaskan bahawa dia mengambil alih Cikgu Jasmin yang mengambil cuti pada hari itu. Tanpa memahami situasi dengan betul, Ijat menyambut baik apa yang dikatakan Guru Besar, tetapi sempat ditengking oleh Guru Besar.

Guru Besar memulakan pengajaran dengan meminta semua murid-murid mengeluarkan Buku Aktiviti. Malangnya, ada di kalangan mereka yang terlupa membawa buku yang disuruh itu, termasuk Fizi dan Jarjit yang menjawab "Dua tiga kucing berlari, buku aktiviti sudah lari" di depan Guru Besar. Guru Besar menyuruh mereka yang tidak membawa buku itu berdiri, kemudian memukul-mukul tapak tangannya perlahan-lahan dengan pembaris papan kapur untuk mempamerkan ketegasannya. Tiba-tiba, dia dikejutkan oleh suara jam tangan Ehsan. Belum sempat Ehsan mengeset jamnya supaya senyap, Guru Besar merampas jam barunya itu.

Untuk memastikan murid-murid tidak membawa barang-barang yang dilarang ke kelas, Guru Besar menyuruh mereka semua untuk menunjukkan beg-beg mereka kepadanya untuk diperiksa. Mula-mula, beg Jarjit diperiksa. Di dalamnya ada gula-gula dan topeng mainan, iaitu antara barang-barang larangan dalam kelas. Kemudian, giliran Mei Mei; begnya diisi buku-buku yang sepatutnya dan tiada barang larangan, maka dia mendapat pujian Guru Besar. Seterusnya, giliran Mail; begnya diisi beberapa bungkusan askar mainan sehingga membuat Guru Besar meradang. Jelas Mail, askar-askar itu adalah untuk dijual, namun Guru Besar tetap merampasnya.

Ketika hampir selesai menyemak beg murid-murid, Guru Besar dipanggil untuk menyemak beg Ijat. Beg Ijat itu kelihatan elok, sehinggalah Guru Besar ditakutkan dengan seekor lipas yang terkeluar setelah zip poket depan terungkai. Seluruh kelas gamat kerana lipas yang terlepas dan berkeliaran atas lantai bilik darjah, sampai Guru Besar berdiri di atas meja guru. Ijat menyelamatkan keadaan dengan memekik "berhenti" lalu memungut lipas dan membuangnya di luar bangunan tadika.

Setelah lipas itu diuruskan, Guru Besar turun dari meja dan menanya murid-murid mengapa beg harus kemas. Jarjit menjawab, supaya tiada lipas; Upin menjawab, supaya senang mencari buku; dan jawab Ipin pula, supaya kakak tidak marah. Guru Besar memuji jawapan mereka dan menjelaskan bahawa beg harus kemas untuk mendisiplinkan diri. Ketika pelajaran baru dimulakan untuk hari ini, Jarjit menghulurkan pembaris papan kapur yang tertinggal atas lantai kepada Guru Besar. Ketika Guru Besar berpaling untuk mengambil balik pembaris itu, dia terlihat kuku jari Jarjit yang panjang dan membesarkan suara lagi.

Guru Besar menyuruh semua murid-murid menunjukkan kuku jari mereka kepadanya. Upin dan Ipin menarik perhatian semua kerana kuku mereka yang kotor kesan daripada berkebun pada hari semalaman. Guru Besar geram melihat kotoran pada kuku mereka berdua dan mengetuk-ngetuk tangan mereka dengan pembaris. Guru Besar juga perasan dan geram lagi akan kasut Upin dan Ipin yang kotor kerana tidak dicuci seperti yang sepatutnya semalam. Dia berkhutbah lagi kepada murid-murid supaya pakaian dan kasut mereka dipastikan kemas pada hari keesokan.

Selepas itu, Guru Besar menyuruh murid-murid mengeluarkan buku bahasa Inggeris. Sayangnya, itu pun terlupa oleh Jarjit, sampai Guru Besar geram lagi.

Bahagian 3Sunting

Sekembali dari tadika, Upin dan Ipin bermuram ketika makan tengah hari di rumah. Di hadapan Kak Ros dan Opah, mereka mengeluh tentang pengalaman mereka dimarahi dan didenda Guru Besar kerana kuku dan kasut mereka yang kotor yang mereka anggap sebagai perkara remeh. Kak Ros turut tertarik oleh kuku kotor mereka lalu menghentakkan tangan adik-adiknya dengan penceduk, sama seperti Guru Besar di tadika tadi, lalu menyuruh mereka mencuci tangan dan kasut.

Tidak lama kemudian, Upin dan Ipin sempat membasuh kasut-kasut mereka sampai bersih, tetapi hari mendung lagi jadi mungkin lambatlah kasut itu kering. Opah menyuruh mereka datang dekat dengannya supaya dia boleh memotong kuku jari mereka. Dengan muramnya mereka mematuhi suruhan Opah. Mula-mula, kuku Upin yang dipotong. Opah bertanya bagaimana keadaan cucu-cucunya di tadika; jawab Upin, Cikgu Jasmin cuti sehari, entah apa sebabnya.

Sambil memotong kuku, Opah menceritakan zaman dirinya di bangku sekolah, apabila semua gurunya garang-garang belaka dan memegang rotan; sedikit buat salah sahaja pun kena hukum. Antara hukuman-hukuman yang dikenakan di sekolah Opah itu termasuk rotan, ketuk ketampi dan berdiri di hadapan murid-murid lain sewaktu perhimpunan. Opah menceritakan dirinya juga pernah teruk dihukum kerana kesalahan kecil; Upin dan Ipin berasa kasihan mendengarnya. Opah membetulkan pandangan cucu-cucunya bahawa guru-guru itu menghukum murid bukan kerana garang, tetapi kerana sayang, supaya murid-murid itu menjadi lebih berdisiplin. Habis cerita, kuku Upin siap dipotong; giliran Ipin pula.

Belum sempat kuku Ipin mulai dipotong, hujan pun turun dari langit yang mendung sampai adik-beradik kembar itu teringat akan kasutnya yang dikhuatiri tidak sempat kering untuk esok. Opah memesan mereka supaya mencuci kasut lebih awal lain kali, serta untuk membawa kasut itu untuk dipanaskan di belakang peti ais seperti yang dibuat oleh Kak Ros.

Keesokan hari, Upin dan Ipin kembali ke sekolah dengan kuku dan kasut yang bersih. Fizi (dengan gaya rambut yang berlainan dari dahulu) menanya Ehsan mainannya di mana, Ehsan menjawab ia tidak boleh dibawa sejak dirampas oleh Guru Besar semalam. Setelah terdengar langkah kaki guru yang makin dekat, murid-murid dengan cemasnya bersiap sedia untuk menyambut kedatangan apa yang disangka Guru Besar yang bengis itu. Bayang-bayang orang yang menjelma di depan pintu bilik darjah menggerunkan lagi mereka, tetapi...

Rupa-rupanya Cikgu Jasmin yang muncul! Dengan girang sekali murid-murid menyambut kedatangan guru kegemaran mereka. Cikgu Jasmin tertarik dengan kekemasan murid-muridnya berkat didikan Guru Besar yang menggantikannya semalam. Apabila dia bertanya apa yang mereka belajar semalam, Fizi menjawab tiada apa pun, sebaliknya asyik dimarahi. Untuk menjelaskan kata-kata Fizi itu, Upin dan Ipin mengulangi hujah Opah bahawa mereka dimarahi supaya menjaga kebersihan diri dan berdisiplin. Maka CIkgu Jasmin bersetuju dengan jawapan Upin dan Ipin, dan bermulalah kelas.

Sekitar rangkaian Wikia

Wiki Rawak