Wikia

Upin & Ipin Wiki

Ikhlas dari Hati

199laman di
wiki ini
Bincang0
"Ikhlas dari Hati"
Episod Upin & Ipin
No. episod 10, 11, 12
Tarikh siaran asal 6 Ogos 2011

"Ikhlas dari Hati" ialah episod ke-10 hingga ke-12 musim kelima Upin & Ipin dan Kawan-Kawan.

Plot

Bahagian 1

Upin dan Ipin berlari ke ruang tamu untuk menanya Kak Ros yang sedang membaca surat khabar Media Massa sama ada Sarjan Husin disiarkan di TV atau tidak; jawab Kak Ros, tiada. Demi kepastian, adik-beradik kembar itu meminta surat khabar tersebut untuk menyemak jadual rancangan. Seperti kata Kak Ros, Sarjan Husin tiada hari ini.

Selepas Kak Ros mengambil semula surat khabar itu, Upin dan Ipin yang berasa jemu terlihat tajuk berita yang berhuruf besar di kulit hadapan dan cuba membacakannya satu per satu: "Tanah Runtuh: Ramai Terkorban". Kak Ros disampuk lalu menanya adik-adiknya apa yang dibacakan mereka itu. Mereka pun bertanya apa itu tanah runtuh. Jelas Kak Ros, tanah runtuh merupakan kejadian bumi bergegar dan berpecah yang menelan budak-budak nakal. Walaupun perihal tanah runtuh itu serius, Upin dan Ipin memerli Kak Ros sambil bertegas bahawa mereka budak baik. Oleh sebab Kak Ros tidak mahu diganggu dengan soalan lagi, Upin dan Ipin berhenti bertanya dan keluar bermain.

Upin dan Ipin berlari ke pondok di mana kawan-kawan mereka, Ehsan, Fizi, Mail dan Mei Mei, sudah lama berkumpul. Di dalam pondok itu, Mail sedang membuat bulu capteh untuk dijual. Mei Mei merampas bulu capteh itu dari tangan Mail lalu memarahi Mail kerana mengambil pemadamnya (yang dilukis atasnya muka yang bercermin mata seakan-akan wajah Mei Mei) sebagai kaki capteh. Alasan Mail, dia menjumpai pemadam yang tercicir itu. Apapun, tindakan Mail dimaafkan, tetapi Mail tidak dapat menjual bulu captehnya, dan yang lain-lain terus bermain capteh.

Ketika berseronok bermain capteh, Upin, Ipin dan kawan-kawan terlihat asap hitam yang berkepul-kepul tidak jauh dari tempat mereka bermain. Asap itu turut menarik perhatian ramai penduduk kampung yang bergegas ke arahnya, termasuk Tok Dalang. Enam kanak-kanak itu juga hendak mendekati punca asap itu, tetapi Tok Dalang melarang mereka ikut sekali dan menyuruh mereka balik kerana bahaya.

Keesokan harinya, Upin, Ipin dan kawan-kawan mendapat penjelasan daripada Dzul tentang peristiwa asap itu, bahawa rumah Ijat terbakar. Tambah Dzul, Ijat sekeluarga tidak apa-apa dan berdiam di rumah bapa saudaranya. Cikgu Jasmin pun masuk dan menjelaskan bahawa Ijat terpaksa bercuti sehingga keadaan menjadi lebih elok.

Bahagian 2

Selepas waktu sekolah, Upin, Ipin dan kawan-kawan menjenguk Ijat di tempat tinggal sementaranya. Di situ, mereka mendengar penjelasan daripada Ijat (yang masih kurang petah bercakap) dengan bantuan Dzul bahawa Ijat tengah tidur ketika kebakaran itu berlaku, tetapi sempat diangkat keluar dan dikejutkan oleh seorang tua. Tambah Dzul, rumah Ijat itu rentung dan semua harta benda milik keluarganya ditelan oleh api marak.

Pada hari keesokannya, datang seorang tetamu istimewa di Tadika Mesra. Namanya ialah Tan Sri Zaleha, ataupun lebih mesra dipanggil Tok Wan, dan beliay ada cerita untuk dikongsikan dengan murid-murid. Dzul berpaling ke kiri dan bertanya cerita apa itu...terlupa pula dia, Ijat masih bercuti. Sebelum memulakan cerita, Tok Wan mengedarkan lencana "Power of 10 Sen" kepada murid-murid. Setelah mendapat satu setiap orang, mereka mengucapkan terima kasih kepada Tok Wan.

Cerita Tok Wan itu mengetengahkan duit syiling 10 sen. Tok Wan menanyakan kepada murid-murid sama ada mereka ada sekeping duit syiling 10 sen. Ehsan yang kaya itu tiada syiling 10 sen, tetapi ada wang kertas seringgit. Mei Mei pula terlupa untuk membawa duit, tetapi mujurlah Upin yang ada dua keping 10 sen meminjamkan sekeping kepadanya.

Tok Wan bertanya pula, apa yang boleh dibeli dengan 10 sen. Setiap murid ada jawapan mereka sendiri, tetapi Tok Wan berpesan yang 10 sen ini boleh "menolong orang". Beliau bertanya lagi. Apa yang akan berlaku jika setiap murid dalam kelas (dan setiap penduduk kampung) memberikan 10 sen. Ini membuat Mail yang bermata duitan itu berangan-angan sehingga mundar-mandir di kelas tanpa sedar diri, tetapi sempat ditegur oleh Cikgu Jasmin.

Dengan itu, Cikgu Jasmin mengajarkan peribahasa, "sikit-sikit lama-lama jadi bukit", dan Tok Wan berpesan supaya jangan memandang rendah akan duit syiling 10 sen. Mei Mei kemydian tampil ke hadapan untuk membacakan slogan kempen "Power of 10 Sen" yang ditulis di atas kertas kepada rakan-rakan sekelasnya itu. Selepas itu, Tok Wan menjelaskan erti slogan itu, iaitu tak kira betapa banyak atau sedikit wang itu, haruslah dihulurkan secara ikhlas kepada mereka yang memerlukan supaya dapat membantu mereka. Pendek kata, "tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima". Dengan itu, sekianlah taklimat Tok Wan di Tadika Mesra.

Bahagian 3

Upin dan Ipin bergegas ke dapur untuk menanya Opah sama ada tin kosong ada atau tidak; jawab Opah, ada, tetapi dia bertanya balik apakah tujuan mereka mencari tin kosong itu. Jawab kembar itu, mereka hendak membuat tabung dermaan untuk Ijat sekeluarga, setelah diilhamkan oleh ucapan Toh Wan di tadika, dan tiga penderma pertama kepada tabung ini tak lain tak bukan Upin, Ipin dan Opah.

Sebaik sahaja keluar rumah dengan tabung baru mereka, Upin dan Ipin mulai meminta derma daripada para penduduk kampung, bermula dengan Salleh, diikuti dengan pelanggan kedai runcit, pengunjung pasar tani, dan rumah demi rumah, termasuk Tok Dalang. Usaha mengutip derma mereka itu tidaklah begitu lancar kerana bukan semua yang mereka temui itu sudi menghulurkan sesen pun. Upin dan Ipin tidak mengendahkan cuaca terik mahupun hujan dalam pendermaan itu sehingga mereka berdua sekali jatuh demam ekoran ditimpa hujan lebat.

Nasib baik, Kak Ros kawan-kawan Upin dan Ipin sedar akan usaha mengutip derma mereka demi Ijat itu dan menyambung kerja mereka. Terutamanya sekali, Mail dan Jarjit yang mengadakan jualan amal. Berkat usaha mereka semua mengutip derma itu hari demi hari, hasil mereka bertambah membukit.

Pada suatu hari di tadika, akhirnya Ijat kembali bersekolah walaupun bersegan-segan kerana tidak memakai pakaian seragam. Ehsan menjemput Ijat masuk supaya murid-murid boleh menghulurkan dermaan kepada Ijat. Ehsan sendiri mendermakan baju sekolah lamanya, dan Mei Mei pula alat tulisnya. Upin dan Ipin memberikan semua duit kutipan amal bagi pihak seluruh kampung. Dengan ini, Cikgu Jasmin menyifatkan kemurnian murid-muridnya dengan peribahasa "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing."

Trivia

  • Dalam Bahagian 3, ketika sedang mengutip derma, Upin dan Ipin mengunjungi rumah Ara dan Aris. Ara dan Aris merupakan dua watak utama satu lagi keluaran Les' Copaque, iaitu Pada Zaman Dahulu yang masih belum dikeluarkan semasa episod ini pertama kali disiarkan. Oleh itu, inilah kemunculan pertama watak Ara dan Aris di TV Malaysia.

Video

Upin & Ipin S5 - Ikhlas Dari Hati (Bhg 1) (English Subtitle)07:08

Upin & Ipin S5 - Ikhlas Dari Hati (Bhg 1) (English Subtitle)

Upin & Ipin S5 - Ikhlas Dari Hati (Bhg 2) (English Subtitle)07:08

Upin & Ipin S5 - Ikhlas Dari Hati (Bhg 2) (English Subtitle)

Upin & Ipin S5 - Ikhlas Dari Hati (Bhg 3) (English Subtitle)07:08

Upin & Ipin S5 - Ikhlas Dari Hati (Bhg 3) (English Subtitle)

Sekitar rangkaian Wikia

Wiki Rawak