Upin & Ipin Wiki
Register
Advertisement

"Kembara Kembar Nakal" (tiga bahagian) ialah episod ke-34, ke-35 dan ke-36 (episod ke-12 mengikut kiraan episod 30 minit) dalam musim ke-7 daripada siri Upin & Ipin.

Plot[]

Bahagian 1[]

Kisah bermula dengan Upin dan Ipin bermain sorok-sorok di ruang tamu, dengan Upin selaku pencari, apabila mereka diganggu oleh telefon berdering. Ipin yang menyorok dekat meja telefon segera mengangkat gagang untuk menjawab, kemudian memanggil Kak Ros ke mari, sambil mendedahkan dirinya kepada Upin. Upin bertanya siapa yang memanggil; "lelaki" jawab Ipin sambil memerli. Maka Ros geram merampas gagang dari adik-adiknya yang nakal untuk menjawab. Apabila Ros bertelefon, dia masih diusik oleh Upin dan Ipin yang cuba mencuri dengar, lalu menyuruh mereka beredar. Setelah selesai perbualan, Ros bergembira di ruang tamu, menghairankan Upin dan Ipin yang baru mengambil minuman dari bilik dapur. Sebaik sahaja sedar, Ros segera meredam dan masuk ke biliknya dengan senyum sepi.

Isikomikkkn

Koleksi komik keratan akhbar.

Beralih kepada suatu hari kelak di Tadika Mesra, Upin dan Ipin mendapati bahawa sesetengah kawan-kawannya seronok membaca suatu komik. Rupa-rupanya komik itu adalah "Kembara Kembar Nakal", judul terbaru yang dikerat dan dikumpulkan dari surat khabar dalam satu buku oleh Mail sendiri, apalagi bukan untuk dijual. Upin memohon pinjam, tetapi Mail memesan supaya menggunting dan menampal sendiri dari surat khabar lama.

Balik rumah nanti, Upin dan Ipin segera menemui setimbun surat khabar yang diberkas di bawah tangga bilik dapur. Lantas mereka membuka ikatannya dan mencari-cari komik yang dicari-cari mereka. Dalam mencari, Ipin terleka membaca tajuk berita "Perpustakaan Kampung Durian Runtuh", tetapi segera ditegur oleh Ipin supaya terus mencari komik itu. Pencarian mereka yang bersungguh-sungguh itu membuat lantai bilik dapur bersepah, hinggalah mereka disedari dan ditengking oleh Ros. Setelah mendengar alasan mahu mencari "Kembara Kembar Nakal", Ros berpesan bahawa komik itu tidak terdapat dalam surat khabar yang mereka cari itu, tetapi dalam surat khabar lain, malah hanya sudi memberitahu yang mana satu jika mereka selesai mengemas surat khabar yang mereka sepahkan.

Mencarikomikdlmakhbar

Rajinnya mencari komik hingga tempat bersepah.

Setelah mengemas, Upin dan Ipin ke ruang tamu dan bertemu dengan Opah yang sedang membaca surat khabar yang lain daripada yang mereka selongkar tadi. Mereka memohon supaya Opah meminjamkan surat khabar itu kepada mereka dengan alasan sekadar untuk membaca. Namun setelah menyelak-nyelakkan surat khabar itu tanpa menemui apa yang dicari, mereka segera memulangkan surat khabar. Ini membuat Opah berasa hairan. Setelah mendengar niat sebenar mereka, Opah berpesan bahawa surat khabar digunakan untuk membaca berita dan hal-ehwal semasa, bukan komik. Alasan mereka, mereka masih kecil. Opah sudi membacakan untuk mereka, tetapi mereka cepat beredar. Upin dan Ipin mencuri masuk bilik Kak Ros dan dikejutkan dengan sesuatu...

Bahagian 2[]

Hampirjumpakomik

Ingat dah jumpa, rupanya tak ada...

Akhirnya Upin dan Ipin menemui apa yang dicari-cari, atau lebih kurang begitu – surat khabar yang dikerat komiknya. Setelah kecewa dengan penemuan, mereka terdengar suara Kak Ros yang baru sahaja pulang, lalu mengambil kesempatan untuk bertanyakan di mana komik yang mereka cari itu kepada kakak mereka. Kak Ros bertanya sama ada mereka gemar akan komik itu, maka mereka berdua pun memuji-muji wira-wira yang mereka kenali daripada komik itu. Kak Ros bertanya pula akan pendapat mereka tentang lukisan, tetapi kali ini Upin dan Ipin tergamam. Kak Ros yakin bahawa adik-adiknya tidak membaca komik itu betul-betul lalu beredar tanpa memberitahu mereka apa yang mereka kehendaki.

Keesokan hari, setelah pulang ke sekolah, Upin dan Ipin menemui senaskhah surat khabar di atas meja ruang tamu, lantas membelek-belek halamannya untuk mencari komik itu sekali lagi. Sekali lagi mereka tidak berhasil. Mereka turut dikejutkan oleh kepulangan Kak Ros yang mengeluh pening kepala. Maka mereka mengeluh kepada kakak mereka bahawa komik itu tiada dalam surat khabar hari ini. Jelas Kak Ros dengan geram, komik itu hanya disiarkan pada hari Ahad.

Masihmencari

Hampa...

Beralih ke hari Ahad, tetapi Upin dan Ipin masih mengeluh tidak dapat jumpa komik itu. Kak Ros menengking kepada mereka supaya bersabar, tetapi tiba-tiba menahan kata. Ini membuat Upin dan Ipin rasa hairan. Sebagai penawar duka, Upin dan Ipin membuat olok-olok sebagai Kembara Kembar Nakal, apabila mereka diperanjatkan oleh seekor lipas. Tanpa mereka sedari, gelagat mereka disaksikan oleh Kak Ros dengan rasa minat.

Sedutankkn

Sedutan komik Kembara Kembar Nakal, bab Lipas Raksasa.

Beberapa hari kemudian, keluarnya bab Kembara Kembar Nakal yang menampilkan dua wira menewaskan seekor lipas raksasa dengan kuasa-kuasa "Pancaran Hyper" dan "Putaran Badai". Komik itu dinikmati oleh Upin, Ipin, Ehsan, Fizi, Jarjit dan Mail di pondok. Sementara kawan-kawan mereka memuji-muji cerita komik itu, Upin dan Ipin terasa sesuatu yang melintas di dalam fikiran mereka. Mereka menyedari bahawa cerita dalam komik itu sama dengan kisah mereka dengan lipas di ruang tamu tempoh hari, lengkap dengan "Pancaran Hyper" dan "Putaran Badai" yang pernah mereka perolok-olokkan untuk menghalau serangga itu. Maka kembar berdua itu segera memberitahu kawan-kawannya bahawa Kembar Nakal itu adalah diri mereka.

Bahagian 3[]

Kembarnakalitukami

Kembar Nakal tu kita orang!

Pengakuan tergempar Upin dan Ipin itu disambut dengan gelak tawa persendaan oleh kawan berempat mereka itu. Pada masa yang sama, datangnya Kak Ros berbasikal yang bersinggah dekat pondok itu lalu bertanya khabar kepada budak berenam yang riuh itu. Mail menjelaskan kata-kata Upin dan Ipin bahawa Kembar Nakal itu adalah diri mereka. Maka Kak Ros memesan mereka supaya menanya pelukis komik itu jika hendak tahu, lalu menunjukkan nama pelukis itu di hujung komik. Di hujung komik itu tertulis "R, Kg. Durian Runtuh". Baru mereka sedar bahawa si pelukis berasal daripada kampung mereka! Belum sempat mereka bertanya selanjutnya, Kak Ros pun beredar untuk mengirim barang di pekan. Maka mereka tertanya-tanya siapakah R yang dimaksudkan itu.

Pada malam hari, sambil menonton televisyen bersama-sama, Upin dan Ipin sempat memberitahu Kak Ros dan Opah bahawa cerita Kembara Kembar Nakal itu sama dengan cerita mereka. Balas Ros, "Akak yang buat", maka seluruh keluarga pun terkejut lalu tergelak dan memerli kerana sukar percaya. Selepas itu, Upin dan Ipin kembali tertanya-tanya siapa "R Kg. Durian Runtuh".

Roslukiskomik

Tahu juga siapa pelukisnya...

Hujung minggu kelak, sedang mereka membuat kerja rumah siang-siang, Upin dan Ipin pergi mencari pemadam pada meja Kak Ros. Di sanalah mereka terjumpa sepucuk kad jemputan ke Majlis Pelancaran Komik Kembara Kembar Nakal. Dengan itu mereka dengan membawa kad itu sekali meluru ke bilik Kak Ros dan mengetuk pintu yang terkunci. Dengan tiba-tibanya Kak Ros membuka pintu hingga membuat adik-adiknya jatuh ke dalam. Dalam bangun mereka terlihat kertas-kertas yang berlukisan lakaran komik, lalu mereka akhirnya sedar bahawa kakak merekalah "R, Kg. Durian Runtuh" yang mengarang Kembara Kembar Nakal!

Opah pun datang dan menyedari betapa bersepahnya bilik Ros. Dia diberi kad jemputan itu oleh Upin lalu akhirnya sedar mengapa Ros berkurung dalam bilik dan jarang menolongnya kebelakangan ini, tetapi bangga kerana cucu sulungnya berjaya sambil hairan mengapa Ros merahsiakan hal itu daripada keluarganya. Jelas Ros, dia berniat untuk merahsiakan yang dia sedang melukis komik itu hinggalah komiknya cukup disambut baik. Sambil itu, dia menyerahkan contoh jilid pertama buku komik Kembara Kembar Nakal kepada adik-adiknya, dan menjemput seluruh keluarga untuk ke majlis pelancaran itu.

Di petang hari, Ehsan, Fizi, Jarjit dan Mail sedang bermain apabila mereka dikejutkan oleh Upin dan Ipin yang memakai baju Melayu. Setelah ditanya ke mana mereka pergi, berjumpa dengan R si pelukis komik jawabnya. Sebagai buktinya, mereka menunjukkan dua salinan buku komik Kembara Kembar Nakal kepada mereka, siap dengan gambar kakak mereka di kulit belakang – maka mereka berempat turut terperanjat.

Video[]

Promo_Upin_Ipin_Musim_7_-_Kembara_Kembar_Nakal_30_Nov_2013,_6.30pm,_TV9

Promo Upin Ipin Musim 7 - Kembara Kembar Nakal 30 Nov 2013, 6.30pm, TV9

Advertisement