Upin & Ipin Wiki
Register
Advertisement

"Sahabat Pena" (tiga bahagian) merupakan episod ke-7, ke-8 dan ke-9 dalam musim ke-9 daripada siri Upin & Ipin.

Plot[]

Bahagian 1[]

Upin dan Ipin bermain tiup bulu pelepah tinggi-tinggi apabila datangnya posmen singgah di depan rumah mereka. Maka mereka pergi menyambut posmen itu yang hendak mengirim sepucuk sampul surat kepada Ros. Pada masa yang sama muncullah Ros dari pintu rumah, keluar menyambut suratnya dengan riang-ria.

Upin dan Ipin hairan mengapa kakak mereka ceria sahaja lalu mengekorinya masuk semula rumah. Sebaik duduk Ros membuka sampul dan mendapat poskad yang berhias ala Jepun. Jelasnya kepada Upin dan Ipin, ini surat daripada sahabat penanya, Hideko dari Jepun, kemudian dia membaca surat itu dengan rasa geli. Upin dan Ipin mahu membaca sekali, tetapi Ros tidak mengizinkan.

Setelah habis membaca, Ros bangun dengan gembira lalu menari berpusing-pusing dengan Upin dan Ipin untuk meraikan kedatangan Hideko ke mari kelak. Upin dan Ipin tumpang gembira. Pada masa yang sama Mail memanggil Upin dan Ipin. Belum sempat Upin dan Ipin meminta izin, Ros terus mengizinkan mereka untuk pergi kerana terlalu gembira.

Upin dan Ipin mengikut Mail, Ehsan, Fizi dan Jarjit menemani Tok Dalang memancing di tepi sungai, di mana kembar tersebut bercerita tentang sahabat Kak Ros. Ehsan dan Fizi meluahkan rasa kagum akan betapa bertuahnya kakak Upin dan Ipin itu.

Tok Dalang turut bercerita tentang pencarian sahabat penanya dahulu kala, di mana dia mencari-cari sahabat dengan ruangan suratkhabar dan majalah, tetapi akhirnya gagal. Apabila ditanya kenapa, jawabnya dia hantar surat dengan botol sambil tergelak sendiri. Kanak-kanak berenam itu bingung, jadi dia tunjukkan caranya iaitu menulis surat, memasukkan surat ke dalam botol dan mencampak botol ke dalam sungai, barulah semua faham dan tergelak.

Bahagian 2[]

Kak Ros sedang asyik mempelajari masakan Jepun, bersiap dengan banyak ikan dan ramuan-ramuan lain di atas meja, siap dengan ikan hidup di dalam baldi, membuat Opah berasa hairan melihat perangainya. Upin dan Ipin menjelaskan bahawa Ros akan menyambut sahabat pena dari Jepun, jadi dia belajar masakan Jepun. Opah menegur tindakan Ros itu salah dan seharusnya dia memasak masakan tempatan untuk dicuba oleh orang luar.

Malam harinya, Upin dan Ipin membaca komik sambil bertanya kepada Kak Ros yang sedang belajar sama ada Hideko itu lelaki atau perempuan; jawabnya perempuan. Opah menukar-nukar saluran televisyen sambil bercerita tentang sahabat penanya si orang putih yang pernah datang melawatnya dan mengambil kesempatan untuk belajar bahasa satu sama lain. Opah juga berpesan supaya Upin dan Ipin boleh menjemput sahabat pena ke rumah asalkan meminta kebenaran Opah dan Kak Ros.

Upin dan Ipin juga bertanya sama ada Ros boleh berbahasa Jepun. Maka Ros bangun dan tunduk hormat sambil berucap "Hai, arigatou gozaimasu." Ros juga berpesan bahawa Hideko akan datang dalam masa lima hari lagi.

Lima hari kemudian, Ros sedang mengemaskan biliknya untuk saat yang paling dinanti-nantinya. Upin dan Ipin berjalan lalu pintu biliknya lalu memerli kakak mereka. Ini membuat Ros geram dan akhirnya Ros pun marah dan Ros membaling adiknya dengan bantal, tetapi Upin dan Ipin memesan mereka supaya menjaga panas barannya di depan tetamunya nanti. Serik dengan ejekan adiknya, Ros mengusir mereka dengan geram.

Selepas itu Upin datang balik untuk memanggil Ros menyambut pintu. Maka Ros pergi ke anjung bersama adik-adiknya untuk menyambut seorang gadis rupawan berkulit cerah yang memakai topi putih, baju ungu dan senyuman yang comel. Akhirnya Hideko sampai, melengkapi hari ceria buat Kak Ros!

Bahagian 3[]

Di tadika, Upin dan Ipin mengongsikan gambar-gambar Kak Ros dengan Hideko bersama kawan-kawan mereka. Semua kawan-kawan teruja dan asyik melihat gambar-gambar itu, hinggalah Cikgu Melati datang dan mereka semua balik ke tempat masing-masing untuk menyambutnya. Selepas itu Upin dan Ipin turut berkongsi gambar dengan guru mereka. Cikgu Melati memuji kerana sahabat pena menggalakkan amalan rajin menulis.

Kemudian Cikgu Melati bertanya siapa mahu sahabat pena. Seluruh kelas melompat-lompat sambil melaungkan "saya nak", hingga kebisingan mereka dipatahkan oleh wajah menggerunkan Guru Besar yang berjalan lalu. Maka semua murid balik ke tempat masing-masing sementara guru mengedarkan kertas kosong kepada setiap seorang untuk menulis karangan tentang dirinya.

Pelbagai ragam yang ditunjukkan oleh murid-murid sepanjang waktu menulis karangan. Fizi terlalu kerap menggunakan pemadam Ehsan hingga akhirnya tidak diberi pinjam lagi. Selepas itu Ehsan memadam terlalu kuat hingga kertasnya terkoyak dan terpaksa digantikan dengan kertas lebih cantik. Ipin pula sedar tiadanya pemadam setelah tersilap eja lalu cuba memadamkan dengan air liur. Dia dihalang oleh Upin yang meminjamkan pemadamnya.

Loceng berbunyi, masa untuk menghantar karangan. Tetapi kertas Fizi masih kosong, jadi Ehsan yang mengumpulkan karangan berpesan supaya dia cepat menulis apa-apa sahaja. Selepas semua karangan dikumpulkan, Cikgu Melati berpesan bahawa minggu depan dia tidak akan hadir dan diambil alih oleh Guru Besar. Terpaksalah Kelas Aman meredah kelas-kelas yang penuh dengan kegerunan dan derita hukuman.

Setelah berlalunya seminggu yang getir, Cikgu Melati akhirnya kembali menceriakan murid-murid yang puas menderita dengan mengedarkan surat-surat sahabat pena. Surat yang mereka terima itu penuh dengan kebetulan. Surat untuk Jarjit berupa pantun empat kerat. Upin dan Ipin menerima gambar adik-beradik kembar lalu menunjukkan kepada kawan-kawan. Mei Mei hairan kerana rupa mereka tidak sama. Jelas Cikgu Melati, ini kembar tak seiras.

Ehsan bertanya sama ada mereka boleh membalas surat. Cikgu Melati mengizinkan asalkan mendapat izin orang tua. Maka seluruh kelas meriah bersorak, kecuali Mail yang diam menatap gambar di tangannya. Apabila ditanya kenapa, rupa-rupanya sahabat penanya itu sepupunya!

Video[]

Teaser_Upin_&_Ipin_Musim_9_-_Sahabat_Pena_HD

Teaser Upin & Ipin Musim 9 - Sahabat Pena HD


Tonton di RCTI+[]

Advertisement