Wikia

Upin & Ipin Wiki

Sedia... Mula!

Bincang0
170laman di
wiki ini

Dilencongkan dari Sedia.... Mula!

"Sedia.... Mula!"
Episod Upin & Ipin
No. episod 25, 26, 27
Tarikh siaran asal 26 November 2011

"Sedia.... Mula!" ialah episod yang ke-25, 26 dan 27 dalam musim kelima siri Upin & Ipin dan Kawan-kawan.

PlotSunting

Bahagian 1Sunting

Cikguajarsenam

Cikgu Jasmin mengajar murid-murid bersenam.

Hari ini, murid-murid Kelas Aman Tadika Mesra ke padang tadika untuk menjalani pendidikan jasmani. Ehsan, Upin dan Ipin memikul tanggungjawab mengambil peralatan sukan ke padang. Walaupun Ehsan menegah yang lain-lain daripada bermain sementara menunggu cikgu datang, mereka tetap tak sabar dan leka bermain-main dengan alat-alat sukan... sehinggalah Cikgu Jasmin datang. Nasib baik cikgu tak marah, dan murid-murid cepat berhimpun untuk menyambut kedatangan guru kesayangan mereka.

Sebelum bersukan, Cikgu Jasmin mengajak murid-muridnya bersenam dahulu, tetapi Ijat (yang semakin berani bercakap) melenguh hendak bersukan terus. Cikgu Jasmin berpesan perlunya bersenam sebelum bersukan supaya badan cergas. Untuk itu, Cikgu Jasmin mengajar teknik-teknik senaman yang senang-senang; semua murid-murid rajin mengikuti guru mereka kecuali Ijat yang muram kerana tidak sabar hendak bersukan. Ketika diajar kuak lengan, Upin dan Ipin dilihat mengikut cara tersendiri sehingga yang lain turut bersenam sesuka hati; mujurlah ditegur oleh cikgu.

Hilangimbangan

Murid-murid sukar mengimbangkan diri dengan senaman berdiri sebelah kaki.

Seterusnya, senaman yang susah pula iaitu mengimbangkan diri dengan sebelah kaki sahaja, maka tercabarlah murid-murid yang terkial-kial mengimbangkan diri, bertaut pada bahu satu sama lain dan akhirnya jatuh; barulah Ijat terangsang untuk bersenam bersama-sama. Jarjit bertanya mengapa badannya tidak berasa panas setelah bersenam, Cikgu Jasmin menjawab itu tandanya senaman tidak dibuat dengan betul.

Setelah habis bersenam, Cikgu Jasmin mengedarkan alat-alat sukan kepada murid-muridnya, iaitu satu untuk setiap kumpulan berempat. Kumpulan Upin, Ipin, Mei Mei dan Mail mendapat gelung rotan; kumpulan Ehsan, Fizi, Susanti dan Jarjit mendapat bola sepak; dan kumpulan Devi, Dzul, dan Ijat pula mendapat tali lompat. Mail teringin sangat bermain bola sepak, apalagi berasa malu dengan gelung rotan kerana dia menganggap main gelung rotan sebagai "keperempuanan", maka dia memujuk Cikgu Jasmin supaya menukar alat sukan dengan kumpulan Ehsan. Pesan Cikgu Jasmin, setiap kumpulan perlu bermain dengan alat yang diberikan olehnya kepada mereka, kemudian barulah boleh bermain alat-alat lain.

Ehsanmainbola

Ehsan menggelecek bola melalui celah-celah kon.

Upin cuba berseronok dengan menggelek gelung rotan dengan pinggangnya, tetapi gelekkan kurang memuaskan sampai terpaksa diajar oleh Ipin yang sekadar menari di tengah gelung yang terbiar atas tanah. Sementara itu, Jarjit menendang bola sampai menjatuhkan kon-kon yang disusun atas padang, lalu ditegur oleh Ehsan dengan cara yang sepatutnya iaitu menggelecek bola secara menjalari kon-kon itu; itu pun dengan terlalu perlahan.

Di kumpulan yang satu lagi, Ijat leka dengan kehebatan bermain tali lompat sehingga kaki kirinya terseliuh sampai dan tersangkut dengan tali lompat. Ijat hilang imbangan lalu terjatuh ke sebelah kirinya dan terkena Jarjit yang menahan bola dengan sebelah kaki, menyebabkan Jarjit terperanjat lalu terkial-kial dengan kedua-dua kakinya di atas bola sampai melanggar ramai murid lain. Ketika itu, Ehsan baru habis menggelecek bola dengan perlahan bagai kura-kura itu sampai berpeluh; dia menoleh untuk bersuara kepada Jarjit tetapi ternampak pula kekecohan yang disebabkan oleh kemalangan Ijat itu.

Cikgu Jasmin mendekati Ijat untuk berpesan agar bersenam elok-elok supaya tidak mudah cedera, sambil membetulkan seliuh kakinya. Ehsan yang letih dan haus itu mengeluh kepada Ijat, 'itu pun sakit'.

Bahagian 2Sunting

Ehsanmailrebutpiala

Ehsan dan Mail merebut 'kejuaraan'.

Cikgu Jasmin mengungkit perihal Sukaneka untuk pertama kali di depan murid-muridnya. Upin bertanya Sukaneka itu apa; jawab cikgu, ia merupakan pertandingan sukan, apatah lagi dengan hadiah piala besar. Itu membuat Ehsan dan Mail berkhayal kuat tentang piala, sampai mereka "merebut-rebut" piala itu tanpa sedar mereka merebut Ipin; habis pening Ipin dibuatnya.

Murid-murid Kelas Aman menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh kepada Sukaneka itu, jadi Cikgu Jasmin berpesan agar mereka semua rajin berlatih. Ipin melaungkan "betul betul betul" lalu menyeru kawan-kawannya untuk bersambung latihan, tetapi dihalang Cikgu Jasmin kerana waktu sukan sudah tamat.

Sekembali mereka di rumah, Upin dan Ipin rajin mencari gelang-gelang getah di seluruh rumah, baik dalam almari bilik tidur mahupun di dapur. Banyak yang dicari tetapi yang dijumpai tidak cukup. Mereka pun ditanya oleh Kak Ros, lalu disuruh menjumpai gelang getah di atas meja. Gelang-gelang getah di atas meja itu hanya ada empat helai, tidak cukup bagi adik-beradik kembar itu. Mereka melalui pintu bilik Kak Ros lalu terjumpa dua helai gelang rambut kain dan mencurinya. Selepas siap mencari, mereka keluar dari rumah dengan gelang-gelang getah dan sebiji gelung rotan, sambil mendengar tempikan kakaknya yang baru kehilangan gelang rambut.

Upinipinmeimeitalilompat

Upin, Ipin dan Mei Mei membuat tali lompat.

Upin dan Ipin sempat ke tempat bermain dengan selamat. Kawan-kawan mereka sudah lama berkumpul di situ sambil bermain permainan yang sama dengan yang diajar di tadika pagi tadi. Ehsan, Fizi dan Jarjit bermain gelecek bola menyusuri ranting, sementara Mei Mei bermain dengan tali lompat yang baru dibeli oleh ibunya sambil diperhatikan oleh Susanti dan Devi. Upin dan Ipin memuji kecantikan tali baru itu, maka Mei Mei cuba membalas mereka dengan kata-kata "Kita kan mahu masuk suka..." Sayangnya, Mei Mei tidak mengingati nama acara akan datang itu. Kawan-kawan yang lain mengingatkannya lagi, "Sukaneka!"

Fizi perasan Upin dan Ipin banyak membawa gelang gatah pada lengannya, sampai menjentiknya suka-suka dan membuat Upin sakit. Fizi bertanya gelang-gelang getah itu untuk apa, Upin menjawab, itu adalah untuk membuat tali lompat. Mail meminta Upin memberinya beberapa gelang, tetapi Upin tidak mudah menerima permintaannya dengan "dua seringgit". Apapun, Upin dan Ipin mengedarkan gelang-gelang getah kepada kawan-kawan mereka untuk membuat tali lompat sendiri. Mei Mei terperasan pula gelang yang lain macam, tetapi tidak mengapa.

Ijat datang meloncat-loncat dengan tali lompat dengan penuh bergaya, membuat Ehsan dan Mail ternganga dan cemburu akan kemahirannya yang kian meningkat. Demi Sukaneka yang akan datang, mereka semua berikrar untuk berlatih bersungguh-sungguh.

Sepanduksukaneka

Sepanduk Sukaneka Tadika Mesra.

Pada pagi Sabtu, 10 September (macam mengikut tulisan sepanduk acara), hari Sukaneka Tadika Mesra sudah pun tiba. Inilah harinya keempat-empat kelas beradu sesama sendiri: Aman, Bahagia, Ceria dan Damai. Acara gilang-gemilang ini dihadiri oleh orang tua dan sanak-saudara kepada murid-murid, termasuklah Opah dan Kak Ros.

Bahagian 3Sunting

Debuttiger

Memperkenalkan Tiger.

Temasya Sukaneka membuka tirai dengan siulan wisel yang nyaring daripada ketua pengadil dan juga seorang "cikgu kelas sebelah" atau Kelas Bakti, iaitu Cikgu Amin atau "Abang Tiger" yang tampil dengan penuh bergaya dan badan yang sasa dan memakai jersi sukan hitam kuning Malaysia. Abang Tiger menunjuk-nunjukkan kehebatannya dengan bertekan tubi dengan sebelah lengan saja sambil mengimbangi tiga orang muridnya dari kelas Bahagia yang duduk atas belakangnya. Ketika dikejutkan oleh Cikgu Jasmin untuk bersiap sedia, Abang Tiger leka terbangun lalu membuat murid-muridnya jatuh. "Panggil Abang Tiger! Kalau nak macam ni, kena la rajin bersenam!", cakapnya.

Cikgu Jasmin memesan murid-muridnya supaya bekerjasama dan sentiasa menyokong sesama ahli pasukan. Selepas mendengar pesanan itu, murid-murid kelas Aman berteriak "Aman, Aman, Aman!" Turut menyorakkan cogan kata yang ringkas itu ialah sekumpulan enam bapa kepada murid kelas Aman yang diketuai oleh bapa-bapa Jarjit dan Ehsan.

Lumbaguni

Sedutan menarik acara lumba guni.

Acara pertama ialah Lumba Lari Dalam Guni yang mana Ijat, Mei Mei, Jarjit dan Upin mewakili kelas Aman. Ibu Ijat turut datang untuk menyokong anaknya. Perlumbaan bermula dengan lancar dengan Ijat bermula dahulu, tetapi dia tersandung dalam guni pula. Mujurlah dia sempat bangun dan bertukar giliran dengan Jarjit di hujung balapan. Jarjit berlumba dengan cukup pantas untuk sampai ke hujung balapan yang satu lagi, tetapi Mei Mei agak perlahan ketika gilirannya sehingga Upin sebagai pemain terakhir terpaksa bersaing sengit dengan pesaingnya dari kelas Bahagia. Kesudahannya, Upin menang ... kerana guni pesaing kelas Ceria tertanggal pula!

Upin dan Ipin dan kawan-kawan dengan girangnya berlari ke arah Cikgu Jasmin yang membubuh bintang dalam ruangan jadual untuk menandakan kemenangan. Upin bertanya adakah mereka dapat piala, tetapi dijawab baru satu acara. Ada banyak lagi acara yang wajib disahut oleh semua kelas.

Berikut ini ialah ada banyak lagi acara yang wajib disahut oleh semua kelas :

  • Bawa Bola Dalam Sudu (yang digondol mulut): Ipin memulakan perjuangan kelas Aman dengan lancar tetapi Ehsan merosakkan semuanya tanpa sengaja dengan terhegeh-hegeh di garisan mula apabila bapanya memanggil "Intan Payung" berpaling ke arah kamera sampai bolanya jatuh dari sudu. Dimenangi oleh kelas Damai.
  • Terompah Gergasi: Dimenangi oleh kelas Bakti.
  • Junjung Pundi Kacang: Mail paling dahulu melintasi garisan penamat setelah tersandung atas tanah. Dimenangi oleh kelas Aman.
  • Bola: Dimenangi oleh kelas Bakti.
  • Tiup Belon Sampai Pecah: Devi paling dahulu memecahkan belonnya. Dimenangi oleh kelas Aman.
  • Gelek Gelung Rotan: Dimenangi oleh kelas Bakti. (Selepas babak papan tanda menambah bintang untuk acara ini, Jarjit beradu gelek lagi sampai mengungguli pesaing-pesaingnya, rujuk Kesilapan)
Tariktali

Acara klimaks Sukaneka.

Setelah habisnya semua acara yang dijadualkan dalam Sukaneka, kelas Aman siri dengan kelas Bakti. Acara pemutus siri iaitu Tarik Tali. Kelas Aman sengit bersaing dengan Kelas Bahagia untuk menarik tali kuat-kuat sampai pasukan lawan tersungkur, tetapi munculnya seekor ulat yang melata dekat tangan Ehsan sehingga membuatnya terkejut dan terlepas tali, maka kemenangan jatuh kepada kelas Bakti. Hanya kerana ulat, Kelas Aman tewas.

Untuk menghiburkan hati pasukan yang sekadar menjadi naib juara, Cikgu Jasmin memesan murid-muridnya supaya lebih gigih berusaha lain kali dan mengajak mereka makan aiskrim.

KesilapanSunting

Terdapat beberapa kesilapan ketara dalam penceritaan babak Sukaneka.

  • Skema warna pakaian sesetengah pasukan tidak sepadan dengan warna kelas yang ditunjukkan pada sepanduk yang tergantung dalam pondok pemain. Sepanduk Bakti dan Ceria masing-masing berwarna ungu dan biru, tetapi pakaian-pakaian pasukan itu masing-masing berwarna biru dan merah.
  • Dalam acara Gelek Gelung Rotan, Jarjit nampak paling lama menggelek gelung, tetapi kemenangan diberi kepada kelas Bahagia.

Sekitar rangkaian Wikia

Wiki Rawak