Upin & Ipin Wiki
Register
Advertisement

"Terima Kasih Cikgu!" (tiga bahagian) ialah episod ke-13, ke-14 dan ke-15 (episod ke-5 mengikut kiraan episod 30 minit) dalam musim ke-6 daripada siri Upin & Ipin. Episod ini menampilkan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai tetamu undangan dalam bentuk karikatur dan suara.

Plot[]

Bahagian 1[]

Upinipintunsitihasmah

Kenangan Upin dan Ipin bersama Tun Dr. Siti Hasmah.

Upin, Ipin dan kawan-kawan mengusik Ehsan yang terlena di bilik darjah dengan mengambil gambar bersama-sama dengan bantuan Susanti yang memiliki kamera Polaroid, dan melengkapkan usikan dengan mengejutkan Ehsan. Apabila Cikgu Jasmin masuk kelas, dia mengumumkan bahawa kelasnya akan menyambut guru baru mulai minggu depan, kerana dia hendak menyambung pelajaran di Kuala Lumpur. Ini membuat seluruh kelas tergamam, sedih dan hairan mengapa seseorang guru masih perlu belajar. Cikgu Jasmin menjelaskan bahawa dia hendak belajar lagi untuk menambah ilmu di universiti. Dia juga mengingatkan mereka akan kunjungan Tun Dr Siti Hasmah ke tadika mereka, ketika murid-murid menjawab ketika ditanya oleh beliau akan cita-cita mereka. Tun lebih gemar digelar Toh, dan turut memesan murid-murid supaya sentiasa mendengar kata-kata guru dan menghargai segala jasa tenaga pengajar kepada mereka. Sebelum Tun beredar, Upin, Ipin dan kawan-kawan sempat bersalam, bercium tangan dan bergambar bersama beliau.

Kenangan inilah yang mengingatkan murid-murid akan kepentingan mengenang jasa guru serta menimba ilmu. Cikgu Jasmin meluahkan hasratnya untuk menjadi "cikgu besar". Fizi tersalah faham kata-katanya lalu berlawak bahawa untuk menjadi cikgu besar, cuma perlu makan banyak-banyak dan tidak perlu sambung belajar, sehingga membuat satu kelas bergema dengan gelak tawa, termasuk Cikgu Jasmin sekali, sehingga mereka ditakutkan oleh Guru Besar yang datang lalu.

Bahagian 2[]

Upinipinhadiah

Hadiah bersama Upin dan Ipin dan kawan-kawan buat Cikgu Jasmin.

Upin dan Ipin pulang ke rumah dengan rasa hiba, dan pergi menyampaikan berita pemergian Cikgu Jasmin dari tadika kepada Opah yang sedang menonton sinetron. Kak Ros terdengar keluhan adik-adiknya dan memerli mereka kerana tidak menjaga kelakuan hingga guru kesayangan mereka terpaksa pergi. Opah berpesan bahawa cikgu pergi sambung belajar itu perkara baik, tetapi Upin dan Ipin memahamkannya lagi dengan betapa erat ikatan mereka bersama Cikgu Jasmin, sehingga mereka tidak sanggup ke sekolah lagi selepas dia pergi. Opah berpesan kepada cucu-cucunya supaya berterima kasih kepada cikgu dengan membuat sesuatu yang istimewa. Sebagai contoh, Kak Ros menceritakan sewaktu seorang guru meninggalkan sekolahnya, dia sekelas mengadakan jamuan istimewa sebagai tanda penghargaan, tetapi akhirnya makanan yang disediakan menyebabkan semua murid sakit perut. Upin dan Ipin memerli, itukah masakan Kak Ros.

Apapun, Upin dan Ipin menerima idea itu dan berbincang dengan kawan-kawan di tempat main. Ehsan mengulas, ayahnya kata, tiada perlunya menyediakan makanan, sebaliknya bersalam sudah memadai. Jarjit bersetuju dengan Ehsan dengan pantun "Dua tiga cikgu ganti, empat lima cikgu baru ganti." Mail menyampaikan pesan ibunya supaya membawa ayam goreng ke sekolah untuk dimakan ramai-ramai, asalkan dibeli daripada Mail. Upin dan Ipin mengingatkan kawan-kawan mereka dengan nasihat Opah supaya harus membuat sesuatu untuk menyampaikan rasa sayang kepada guru. Mei Mei mencadangkan supaya mereka membuat hadiah. Tiba-tiba sahaja, Ijat menangis teresak-esak sampai kawan-kawannya terkejut kerana turut sedih akan pemergian Cikgu Jasmin yang dikenang kerana mengajarnya hingga pandai membaca. Upin memujuk Ijat supaya tidak bersedih lagi dan bersama-sama membuat hadiah.

Keesokan pagi, Upin, Ipin dan kawan-kawan membawa hadiah mereka ke tadika. Cikgu Jasmin memasuki bilik darjah buat kali terakhir di Tadika Mesra, mengesat buku Mari Mengira dan menarik perhatian murid-murid untuk mula belajar. Tidak sempat dia mula mengajar, murid-murid merayu kepadanya supaya jangan pergi. Upin meluahkan rasa gentar akan cikgu baru kerana tidak kenal, tetapi dibalas dengan pesan Cikgu Jasmin, "tak kenal maka tak cinta", lagipun pada hari pertama mereka ke tadika, mereka pun belum kenal guru-guru atau rakan sekelas.

Bahagian 3[]

Ehsanharipertamatadika

Ehsan menangis di hari pertama di sekolah.

Upin dan Ipin terkenang masa mereka mula-mula melangkah masuk ke tadika, ketika mereka berkenalan dengan Mei Mei dengan membantunya membezakan yang mana Upin (yang berambut sehelai) dan yang mana Ipin. Mereka turut terkenang Ehsan yang menangis teresak-esak pada hari pertama itu kerana takut hendak berpisah dengan bapanya, tetapi berjaya dipujuk oleh Cikgu Jasmin. Pada hari pertama pelajaran, Cikgu Jasmin meminta murid-murid menulis nama pada keping kertas supaya mudah dikenali. Rupa-rupanya, masih ada yang belum tahu menulis, sebaliknya melukis pada keping kertas mereka. Lebih-lebih lagi, Fizi terbasah seluar lalu dibawa pergi ke tandas oleh Cikgu Jasmin!

Selepas siap mengimbas kenangan, mereka semua mempersembahkan kotak hadiah kepada Cikgu Jasmin, dan kotak ini berisi buku-buku dan gambar-gambar yang merakam kenang-kenangan murid-murid kelas Aman bersama Cikgu Jasmin. Selepas loceng berbunyi, murid-murid mengucap terima kasih dan bersalam dengan pengajar kesayangan mereka buat kali terakhir. Ijat merajuk dan menangis di depan Cikgu, hanya untuk mengambil kesempatan untuk meluahkan rasa mengenang budi kepadanya.

Cikgumelati

Guru kelas baru Upin dan Ipin, Cikgu Melati.

Keesokan hari, Guru Besar masuk ke kelas dan disambut oleh murid-murid yang gerun, lalu menyuruh mereka membuka buku Matematik dengan nada yang tegas. Sejurus selepas itu, Guru Besar memperkenalkan guru kelas baru mereka, iaitu Cikgu Melati yang ayu dan molek.

Trivia[]

  • Episod ini dikira sebagai episod paling bernilai oleh pihak produksi kerana Tun Dr. Mahathir selaku bekas Perdana Menteri dan Tun Dr. Siti Hasmah tampil dalam episod.
  • Oleh kerana episod ini mempunyai nilai yang sangat tinggi, maka pihak produksi telah memuat naik episod ini beserta dengan lagu Terima Kasih Cikgu di penghujung video.
  • Episod ini merupakan episod terakhir di mana Nurulhuda Sharabudin selaku pelakon suara Cikgu Jasmin melakonkan watak dalam siri sebelum digantikan dengan Aliya Nazlan selaku pelakon suara Cikgu Melati.

Video[]

Tonton di RCTI+[]

Advertisement