Upin & Ipin Wiki
Register
Advertisement

"Ultraman Ribut II" (tiga bahagian) merupakan episod ke-28, ke-29 dan ke-30 dalam musim ke-9 daripada siri Upin & Ipin.

Ringkasan[]

Pada suatu hari, Upin, Ipin dan kawan-kawan riuh merebut peranan untuk bermain Ultraman Ribut melawan raksasa tetapi tiba-tiba diganggu oleh suatu yang membuat suasana bertukar aneh. Keesokan harinya, Upin dan Ipin mendapati kawan-kawannya di tadika dalam keadaan serba tidak bermaya dan menyeramkan.

Rupa-rupanya seluruh kampung diancam oleh Raksasa Bayang yang menyedut bayang-bayang manusia dan menjadikan manusia tidak bermaya. Mujur Ultraman Ribut muncul untuk membendung gejala raksasa. Kemudian Upin dan Ipin diteleport ke markas DRF untuk membantu Terasawa (identiti sebenar Ultraman Ribut) untuk membendung Raksasa Bayang.

Upin dan Ipin diturunkan ke dalam badan Raksasa Bayang untuk membebaskan bayang-bayang yang disedut. Selepas itu terserah kepada Ultraman Ribut untuk menamatkan riwayat Raksasa Bayang.

Plot[]

Bahagian 1[]

Pada suatu petang, Upin dan Ipin bermain Ultraman dengan kawan-kawan di padang bermain. Asalnya dirancangkan Mail menjadi raksasa dan Upin menjadi Ultraman, tetapi Ipin, Ehsan, Fizi dan Jarjit terbawa-bawa bertopeng Ultraman dan Mail pun beralih dari topeng raksasa ke Ultraman. Ini mengundang rasa tidak puas hati Upin hingga timbul perbalahan sesama mereka berenam. Kebetulan pula Mei Mei dan Susanti berlalu memungut topeng raksasa Mail dan meleraikan pertengkaran. Maka lelaki berenam berpakat sama-sama menjadi Ultraman dan menyasar perempuan berdua itu sebagai raksasa.

Baru sahaja mula bermain, tiba-tiba langit menjadi mendung, suasana sekitar menerima suatu anasir yang aneh sekali, dan kawan-kawan Upin dan Ipin tiba-tiba beredar dengan berjalan perlahan tanpa meminta diri dengan Upin dan Ipin. Maka kembar itu pun hairan, tetapi akhirnya hujan turun dengan lebat, membuat mereka pun pulang sekali.

Keesokan harinya di tadika Upin dan Ipin mendapati kawan-kawan mereka semua berwajah serba selamba seakan-akan dalam keadaan lesu dan separuh sedar, malah suasana bilik darjah pun malap. Upin cuba mengajak Ehsan bermain laga labah-labah, tetapi dibalas dengan "tak nak" yang bersuara perlahan dan tak bermaya. Sekali duduk di meja, Upin dan Ipin ditenung oleh Mail dengan wajah yang menyeramkan bak hantu.

Waktu pulang dari sekolah, Upin bertanya mengapa keadaan pelik begitu. Ujar Ipin, itu mungkin kerana mereka merajuk gara-gara tidak diberi peluang bermain Ultraman. Tiba-tiba saja ada sebuah pesawat pejuang supersonik terbang memecut di atas, membuat mereka berdua mengejar ke dusun. Di situlah mereka melihat seekor raksasa berperisai yang besar dan bengis bernama "Raksasa Bayang"!

Pesawat pejuang itu cuba mengasak dengan tembakan bertubi-tubi, tetapi akhirnya dijatuhkan oleh Raksasa Bayang yang kemudian mengancam Upin dan Ipin. Kembar itu pun berlari, tetapi Ipin tersandung di atas dahan dan terpaksa ditolong oleh Upin, tetapi raksasa kian hampir...

Bahagian 2[]

Upin berjaya membangunkan Ipin, tetapi Raksasa Bayang sudah cukup dekat untuk menyedut bayang Ipin, membuat dia pun cenderung kepada keadaan separuh sedar macam rakan-rakan tadika tadi. Pada masa yang sama, juruterbang pesawat menuju ke tempat raksasa dan bertukar kepada Ultraman Ribut dan mematahkan sedutan bayang si raksasa!

Mujur Ipin terselamat, dan dia bersama Upin berlari jauh dari raksasa sementara Ultraman Ribut menjalankan tugasnya. Dengan sorakan semangat Upin dan Ipin, Ultraman Ribut melakukan pelbagai serangan bertubi-tubi ke atas raksasa hitam berperisai piring perak itu tanpa banyak tepisan sehingga raksasa itu kelihatan cukup lemah.

Namun belum sempat melakukan serangan penamat, Ultraman Ribut terlihat bayang-bayang kawan-kawan Upin dan Ipin di dalam liang raksasa lalu termenung. Raksasa Bayang mengambil kesempatan untuk bangkit dan melarikan diri. Dengan hilangnya raksasa itu (buat sementara), Ultraman Ribut meminta diri dahulu.

Upin dan Ipin berlumba balik ke rumah dan disambut oleh Kak Ros dan Opah yang rimas menunggu, kemudian bercerita tentang peristiwa Ultraman Ribut melawan raksasa. Kak Ros semestinya tidak percaya akan cerita itu dan menghukum adik-adiknya dengan memancurkan air ke arah mereka hingga basah lencun.

Selepas mandi, Upin dan Ipin tertidur di ruang tamu. Mereka bermimpi tentang diri mereka diteleport ke markas Defence Rescue Force dan disambut oleh Terasawa yang menceritakan Raksasa Bayang yang sedang mengancam Kampung Durian Runtuh dengan menyedut bayang-bayang manusia demi tenaga.

Bahagian 3[]

Tiba-tiba sahaja Raksasa Bayang menunjuk muka dan menceroboh markas DRF. Terasawa mengujarkan harus bertindak. Ipin setuju dan bercadang supaya Ultraman Ribut menghapuskan raksasa. Pesan Terasawa, bayang-bayang manusia di dalam raksasa itu terlebih dahulu.

Upin dan Ipin mengikut Terasawa ke pesawat pejuang sementara pasukan DRF selebihnya menjatuhkan raksasa itu. Setelah raksasa dipengsankan, kembar itu diturunkan ke dalam badan raksasa melalui laluan cahaya untuk menyelamatkan bayang-bayang. Di dalam situlah mereka melihat bayang-bayang tersimpan dalam pundi raksasa, kemudian menembak-nembak pundi itu untuk membebaskan bayang kembali kepada empunya masing-masing di kampung.

Sesudah itu, Terasawa menghubungi Upin dan Ipin melalui telefon dan mengucapkan syabas kerana misi berjaya. Upin dan Ipin cepat bergegas keluar, tetapi Raksasa Bayang kembali bangun dan mematahkan laluan cahaya. Dalam saat cemas inilah Ultraman Ribut muncul untuk menamatkan ancaman si raksasa.

Kali ini Raksasa Bayang lebih kuat upaya melawan Ultraman Ribut hingga Ribut sendiri pun lebih kerap termakan pukulan dan cepat kehabisan tenaga (lampu dada berkelip merah). Dalam saat genting inilah Ultraman Ribut membuat serangan penamat ke arah musuh dan mengeluarkan Upin dan Ipin dari badan raksasa. Riwayat Raksasa Bayang pun ditamatkan dengan sepakan melayang dan Ultra Beam. Sesudah itu Ultraman Ribut memberikan jam tangan baru kepada Upin dan Ipin dan menteleport mereka pulang ke rumah.

Trivia[]

  • Suara Terasawa disumbangkan oleh Colin Poh Tze Meng. Ini merupakan episod di mana Terasawa bertutur dengan lebih lanjut.
  • Tidak seperti sebelumnya, dalam episod ini, hanya Upin dan Ipin yang menjalani misi bersama Defence Rescue Force.
  • Episod ini merupakan sambungan daripada Upin, Ipin dan Ultraman Ribut yang dikeluarkan setahun sebelum itu.
  • Dalam episod ini, berkemungkinan besar Upin dan Ipin dapat mengelakkan diri daripada sedutan bayang-bayang Raksasa Bayang melalui jam tangan yang diberikan Ribut dalam episod Upin, Ipin dan Ultraman Ribut. Mereka memakai jam tangan tersebut sepanjang episod ini.

Video[]

Tonton di RCTI+[]

Advertisement