Upin & Ipin Wiki
Register
Advertisement
Mengandungi kandungan CC-BY-SA dari rencana Upin & Ipin di Wikipedia (pengarang)


"Upin Ipin Luar Biasa!"
— Tema utama siri Upin & Ipin bermula musim 11


Upin & Ipin adalah tajuk bagi sebuah siri animasi yang dihasilkan oleh syarikat animasi Les' Copaque Production di Malaysia, dan juga nama bagi dua watak utama siri ini. Upin & Ipin merupakan keluaran sampingan bagi filem Geng: Pengembaraan Bermula yang juga menampilkan watak utama siri animasi tersebut.

Mula-mulanya, Upin & Ipin disiarkan sempena bulan Ramadan pada tahun 2007 Masihi di TV9 (Malaysia), dengan tujuan mendidik anak-anak agar menghayati erti bulan mulia, kini menjangkaui lima musim dan tidak terhad pada televisyen, bahkan juga dalam bentuk DVD dan penstriman video melalui Internet. Upin & Ipin juga berjaya dipasarkan di luar negara, khususnya negara jiran Indonesia.

Atas kejayaan menambat hati penonton serantau, Upin & Ipin disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai "Animasi Paling Berjaya" pada tahun 2011. Selepas filem Geng: Pengembaraan Bermula, watak Upin & Ipin membintangi sebuah lagi filem cetera berjudul Laksamana Upin & Ipin yang keluar pada tahun 2012.

Sejarah

Upin dan Ipin asalnya direka sebagai watak sampingan untuk filem Geng: Pengembaraan Bermula, oleh Mohd Nizam Abdul Razak, Mohd Safwan Abdul Karim, Muhammad Anas Abdul Aziz dan Usamah Zaid Yasin, para pengasas Les' Copaque. Nizam, Safwan dan Usamah merupakan siswazah lepasan Universiti Multimedia yang mula-mulanya bekerja sebagai kakitangan sebuah syarikat animasi lain sebelum bertemu dengan bekas peniaga minyak dan gas, Haji Burhanuddin Md Radzi dan isterinya Hajjah Ainon Ariff pada tahun 2005, lalu membuka syarikat Les' Copaque.[1]

Nizam percaya bahawa aspek kebudayaan Malaysia yang berlatarkan kampung yang serba santai pasti menarik minat pasaran antarabangsa. Hujahnya, siri animasi Doraemon dari Jepun boleh laris di seluruh dunia meskipun berlatarkan budaya setempat dan bukannya budaya antarabangsa.[2] Apatah lagi, reputasi Les' Copaque sebagai syarikat terkenal mula dibentuk oleh populariti Upin & Ipin bukan sahaja di Malaysia, malah di beberapa negara lain yang mengimport siri ini khususnya Indonesia.

Proses animasi Upin & Ipin (dan juga filem Geng) menggunakan perisian CGI Autodesk Maya. [3] Di sebuah sidang media perisian animasi pada tahun 2009, Ketua Pereka Les' Copaque, Fuad Md. Din memberitahu, "Salah satu tujuan kami memilih perisian ini kerana ia mudah. Lagi pun kami sudah berpengalaman menggunakannya sebelum ini."[4]

Musim pertama Upin & Ipin diterbitkan khusus sempena sambutan Ramadan pada tahun 2007 untuk mendidik kanak-kanak mengenai erti dan kepentingan bulan mulia. Kata Safwan, "Kami memulakan siri animasi empat minit ini ... untuk menguji penerimaan pasaran tempatan serta mengukur bagaimana reaksinya kepada kebolehan penceritaan kita."[2] Sambutan memberangsangkan terhadap siri pendek ini menggalakkan Les' Copaque agar menerbitkan satu musim lagi yang diisi 12 episod dengan watak-watak baru, sempena bulan Ramadan dan Aidilfitri pada tahun 2008. Musim pertama Upin & Ipin memenangi anugerah Animasi Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2007.[5]

Selepas dua musim yang bertemakan Ramadan dan keislaman, penerbitan Upin & Ipin beralih kepada penceritaan yang lebih bersifat "sejagat". Ketika ditemubual dalam rancangan wawancara Internet, The Entrepreneur, pada tahun 2010, Haji Burhanuddin menjelaskan sebab pihaknya berbuat demikian, "kandungan bercirikan Islam sukar untuk dijual … pasaran Timur Tengah nampak bagus, tetapi sebenarnya tidak; jika dijual kepada penyiar satelit, tidak boleh dijual kepada mana-mana pihak lain, apatah lagi mereka meminta harga yang sangat rendah. Sebab itulah kami mengubah konsep daripada Islam kepada sejagat."[6] Oleh itu, Upin & Ipin dan Kawan-kawan disiarkan sepanjang tahun mulai awal tahun 2009, yang mana episod baru disiarkan pada musim cuti sekolah atau Ramadan/Aidilfitri, manakala hari-hari persekolahan hanya ada siaran ulangan. Ini berterusan sehingga musim keempat pada tahun 2010.

Pada tahun 2009 juga, barulah filem Geng: Pengembaraan Bermula ditayangkan, untuk menjadi filem tempatan yang paling banyak hasil kutipan pawagam di Malaysia pada tahun itu. Pada bulan September, Nizam, Safwan dan Anas meninggalkan Les' Copaque[7] untuk menubuhkan sebuah studio animasi baru, iaitu Animonsta Studios; namun siri animasi Upin & Ipin masih diteruskan di bawah pimpinan Haji Burhanuddin selaku pengarah.[8]

Susulan filem Geng, Les' Copaque mengumumkan filem seterusnya yang dibintangi oleh Upin & Ipin, iaitu Upin & Ipin: Angkasa pada pertengahan tahun 2009. Namun, setahun kemudian, filem Angkasa diumumkan batal dan diganti dengan Laksamana Upin & Ipin yang dijanjikan dalam bentuk filem 3D.[9]

Pada 29 September 2010, kugiran Padi dari Indonesia melancarkan sebuah lagu tema baru untuk Upin & Ipin, bertajuk "Sahabat Selamanya", yang juga ditujukan kepada hubungan antara Malaysia dengan Indonesia yang dikatakan dilanda konflik ketika ini.[10] Video muzik lagu ini yang sudah berkumandang di kaca televisyen Indonesia sejak bulan Ogos[11], menampilkan kugiran tersebut mendendangkan lagu mereka di halaman rumah Upin dan Ipin, serta babak-babak terpilih dari siri animasi Upin & Ipin.

Pada Disember 2010, dilaporkan bahawa francais Upin & Ipin mengumpul pendapatan sebanyak RM 12 juta pada tahun 2009 dan 2010, kebanyakannya hasil penjualan siri Upin & Ipin kepada penyiar antarabangsa.[12]

Di tengah musim kelima Upin & Ipin pada tahun 2011, Les' Copaque memperkenalkan rancangan aneka ragam kanak-kanak mingguan, Kelab Upin & Ipin, mulai 4 Jun. Pada musim Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, musim terawal Upin & Ipin disiarkan dalam Astro Ceria.

Latar

Upin & Ipin dan Kawan-kawan merupakan siri animasi yang menceritakan kisah sepasang kembar 5 tahun yang menjalani kehidupan mereka sehari-hari yang penuh dengan aktiviti menarik dan pengembaraan yang mendebarkan.

Kenali Upin & Ipin dan kawan-kawannya: Ehsan, merupakan ketua kelas yang sering menjadi pengadil dalam sesebuah permainan. Fizi, merupakan sepupu Ehsan yang sering menjadi mangsa keadaan; Mei Mei, kanak-kanak berbangsa Cina, comel, bersopan-santun dan sering menyuarakan pendapatnya; Mail, suka berniaga dan sering ditonjolkan sebagai mempunyai ciri-ciri ahli perniagaan yang berjaya. Mail sentiasa cuba untuk menjual apa saja yang boleh mendatangkan keuntungan dengan laungan “dua, seringgit”; manakala Jarjit pula, kanak-kanak Sikh yang sangat periang. Walaupun sebaya, namun suara dan wajahnya kelihatan lebih matang serta Jarjit sangat gemar teka-teki dan berpantun. Tidak lupa juga; Ros, kakak mereka yang sangat garang dan Opah yang lemah-lembut dan sering menasihati mereka.

Episod

Media

Siaran TV

Negara Saluran Mulai Catatan
Malaysia TV9 September 2007 Musim pertama hingga sekarang
Astro Ceria Ogos 2011 Musim pertama
Indonesia TVRI September 2007 Musim pertama sahaja, serentak dengan Malaysia
MNCTV (dahulunya TPI) September 2008 Musim ke-2 hingga sekarang, serentak dengan Malaysia
Singapura MediaCorp Suria Februari 2011 Musim ke-3 hingga sekarang
Turki Hilal TV[13] September 2008 Musim pertama dan ke-2
Asia Tenggara Disney Channel November 2009 Musim ke-3 hingga sekarang

Selain di TV, episod-episod Upin & Ipin boleh juga ditonton melalui DVD dan khidmat penstriman video yang sah di sisi undang-undang, iaitu di akaun rasmi lescopaque di YouTube dan juga Tonton.com.my. Untuk penstriman antarabangsa, episod-episod Upin & Ipin dapat diakses melalui portal penstriman iFlix dan Netflix bagi pasaran Pasifik.

Francais Upin & Ipin

Cenderamata

Selain DVD, jenama Upin & Ipin juga terjual dalam bentuk barangan cenderamata[14], termasuk pakaian, kelengkapan sekolah, sampul duit raya, anak patung dan juga bantal kusyen dibawah jenama "U & I Boutique". Malangnya, barangan-barangan Upin & Ipin tidak terlepas daripada gejala cetak rompak dan barangan tiruan[15]; tetapi mujurlah adanya penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna untuk memantau dan membendung kegiatan haram ini.[16]

Acara luar

Sempena meraikan sambutan peminat-peminat, pihak penerbitan Upin & Ipin mengambil ikhtiar untuk mengadakan Karnival Upin & Ipin yang terdiri daripada penampilan maskot watak-watak Upin & Ipin dengan pelbagai aktiviti menghiburkan. Mulai musim cuti sekolah akhir tahun 2010 di Melaka Wonderland dan SACC Mall Shah Alam, Karnival Upin & Ipin kini merupakan acara tahunan yang menjelajah dari tempat ke tempat di seluruh negara.

Selain Karnival Upin & Ipin, maskot Upin dan Ipin dan kawan-kawan juga membuat penampilan di acara-acara anjuran pihak lain sebagai tetamu mahupun duta produk. Pementasan teater Upin & Ipin the Musical yang menggunakan khidmat pelakon hidup dianjurkan buat julung kalinya pada 14 April hingga 6 Mei 2012 di Istana Budaya.[17] Dalam pementasan ini, watak Upin dan Ipin dimainkan oleh dua pasangan pelakon yang berbeza, iaitu Faris Azim Abdul Karim dan Amir Johar Nadim, Joshry Adamme Rizq Arish Khairul Fazril dan Muhamad Faritz Danial Roshaimi.

Kelab Upin & Ipin

Walaupun aktif sejak tahun 2009, namun Kelab Upin & Ipin hanya dirasmikan di acara "Hari Kelab Upin & Ipin" di Zoo Negara pada 12 Jun 2010.[18] Ahli kelab menikmati peluang menyertai semua aktiviti kelab sepanjang tahun, dan juga harga istimewa untuk barang dagangan berjenama Upin & Ipin di kedai U & I Boutique dan Geng's Corner. Di samping itu, rancangan televisyen kanak-kanak Kelab Upin & Ipin disiarkan mulai 4 Jun 2011 di TV9.

Kedai Makan Upin & Ipin

Jenama Upin & Ipin dimantapkan lagi dengan pembukaan jaringan restoran Kedai Makan Upin & Ipin yang khusus dalam hidangan masakan tempatan. Dimulai dengan pembukaan cawangan pertama di Seksyen 7, Shah Alam pada Julai 2012, Kedai Makan Upin & Ipin terdapat di seluruh Semenanjung Malaysia.

Muzik rakaman

Pada tahun 2011, Les' Copaque dan syarikat rakaman Nova Music menerbitkan album lagu Aidilfitri Seronoknya Raya Bersama Upin & Ipin yang menampilkan nyanyian Asyiela Putri Azhar sebagai pelakon suara Upin dan Ipin.[19] Pada pertengahan tahun 2012, Asyiela berduet bersama Najwa Latif untuk merakam lagu "Terima Kasih Cikgu" sempena sambutan Hari Guru dan episod "Terima Kasih Cikgu".

Majalah

Mulai Disember 2009, Majalah Komik Upin & Ipin diterbitkan sekali sebulan untuk pasaran seluruh Malaysia, terbitan Nyla Sdn Bhd.[20] Isi kandungan majalah ini terdiri daripada komik hasil tangkapan skrin siri Upin & Ipin dan filem Geng: Pengembaraan Bermula, profil pelakon suara dan krew di sebalik siri Upin & Ipin, halaman pembelajaran dan aktiviti, dan sebagainya.

Permainan video dan aplikasi

Les' Copaque Production membuka sebuah bahagian pembangunan permainan, LC Game Develpment Inc. Sdn Bhd untuk mengeluarkan permainan elektronik Upin & Ipin. LC Game Development Inc. telah menghasilkan dua permainan mini untuk pengguna iOS, iaitu Pocket Ipin (2010), Pocket Upin (2012) dan Upin & Ipin Dash (2012).

Sambutan, pengaruh dan kejayaan

Siri dan francais Upin & Ipin nyata berpengaruh di rantau Nusantara, khususnya di Malaysia dan Indonesia. Musim pertamanya yang diperkenalkan kepada umum sempena musim Ramadan 2007 bukan sahaja disambut hangat oleh penonton, bahkan juga mengurniakan anugerah pertamanya sebagai "Animasi Terbaik" di Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur yang dianjurkan pada tahun yang sama.[21]

Ketika musim keduanya disiarkan pada musim Ramadan 2008, dilaporkan sejumlah 1.5 juta penonton menonton siri animasi ini di TV9[22], menjadikannya siri kartun kedua teramai penonton di televisyen Malaysia, mengekori Doraemon (1.6 juta orang), tetapi di hadapan SpongeBob SquarePants (800,000 orang).[1] Kelarisan jenama Upin & Ipin juga dipercayai menjadi pemangkin kepada kejayaan filem animasi CGI pertama Malaysia, Geng: Pengembaraan Bermula (2009) yang juga diterbitkan oleh Les' Copaque dan menampilkan watak Upin dan Ipin, yang mencapai hasil kutipan yang cemerlang iaitu RM 6.31 juta selama tujuh minggu di pawagam, menjadikannya antara filem tempatan yang paling lumayan dalam sejarah perfileman Malaysia.[1]

Ketika musim ketiga disiarkan dengan pada musim cuti sekolah akhir tahun 2009, pihak TV9 melaporkan bahawa siri Upin & Ipin mencatat 1.6 juta penonton, menjadikannya rancangan kedua teramai penonton di saluran tersebut, mengekori tak lain tak bukan filem Geng yang menikmati tayangan perdana di TV percuma dengan 2.45 juta penonton (TVR 12.8).[23]

Nyata sekali, Indonesia menjadi pasaran eksport utama untuk francais Upin & Ipin. Pada tahun 2009, pihak TPI selaku penyiarnya di republik itu melaporkan TVR sebanyak 10.5 peratus.[24] Penangan Upin & Ipin di seberang ditandai oleh puji-pujian dari pengarang kolum akhbar di Indonesia, misalnya Fadil Abidin untuk akhbar Analisa yang mengulas bahawa siri ini kaya dengan pendidikan serta unsur Islam, seperti menghormati sesama kawan yang berbeza kaum dan agama sehingga watak-wataknya bukan sahaja terdiri daripada orang Melayu, Cina dan Tamil, bahkan juga orang Indonesia.[25]

Sempena sambutan perayaan Hindu Nyepi di Bali pada Mac 2010, tersiarnya gambar patung ogoh-ogoh yang dilaporkan amat menyerupai Upin & Ipin. Pembuatan ogoh-ogoh berupa Upin dan Ipin ini dilaporkan menelan belanja 4 juta rupiah[26] (kira-kira RM 1,500).

Facebook mengumumkan dalam hasil kajian Memology bahawa halaman Upin & Ipin merupakan halaman watak cereka yang paling popular di Facebook seluruh dunia sepanjang tahun 2011.[27] Pada tahun 2012, Upin & Ipin merupakan kata kunci carian yang paling kerap ditaipkan oleh pengguna Google Malaysia dalam kategori Rancangan TV menurut Google Zeitgeist.[28] Setakat tahun 2013, halaman rasmi Upin & Ipin di Facebook telah mencecah paras tujuh juga peminat (likes).

Pada 7 Mac 2013, UNICEF cawangan Malaysia memilih watak Upin dan Ipin sebagai Duta UNICEF Malaysia bagi penggal 2013-2014, dengan harapan "boleh membantu memperjuangkan hak dan kesejahteraan kanak-kanak".[29]

Pencapaian Upin & Ipin di luar negara kini di paras yang menakjubkan. Saluran YouTube Upin & Ipin, iaitu Les' Copaque Production mencatat sejarah sebagai saluran YouTube pertama Malaysia yang memperoleh anugerah Diamond Play Button daripada YouTube atas kejayaan memperoleh 10 juta pengikut. Bukan itu sahaja, filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal juga muncul filem animasi pertama dari Asia Tenggara yang tercalon dalam Anugerah Akademi bagi kategori Filem Animasi Terbaik. Siri ini juga telah menggondol anugerah Siri Animasi Kesayangan di MNCTV sebanyak lima kali, termasuk kemenangan sebanyak empat edisi berturut-turut pada tahun 2015-2018 dan 2020.

Penaja siri

  • Colgate (2009-2010)
  • Telekom Malaysia (2009-kini)
  • Wyeth (2010-2012)
  • KPJ Healthcare (2011-2013)
  • Proton (2011)
  • Hong Leong Islamic Bank (2012-2013)
  • UNICEF Malaysia (2012-2017)
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (2014-2015)
  • EntoGenex (2015-2016)
  • D'Herbs (2016-2017)
  • Kementerian Kesihatan Malaysia (2017, 2020)
    • MyHealth KKM (2020)
  • Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (2017)
  • SGM Eksplor (2018-kini)
  • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (2020-kini)
  • So Good (Indonesia sahaja, 2010)
  • Cracster (2011)
  • Bretos (Indonesia sahaja, 2011)
  • Nata Nata (2013)
  • Mamee Monster (2013)
  • KFC (Indonesia sahaja, 2018)
  • Dutch Lady (Malaysia sahaja, 2020)

Anugerah

  • Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2007[21]
    • Animasi Terbaik
  • Anugerah Shout! 2009[30]
    • Best On-Screen Chemistry
  • World Brand Congress 2010, India
    • Brand Leadership Award
  • Malaysia Book of Records (2011)
    • Animasi Paling Berjaya[31]

Galeri

Rujukan

  1. 1.0 1.1 1.2 Lee Wei Lian. "Jobless four years ago, three young filmmakers shake up box office", The Malaysian Insider, 15 November 2009. Dicapai pada 9 Januari 2010. 
  2. 2.0 2.1 Steven Patrick. "Animating Malaysia for the world", The Star, 12 Jun 2008. Dicapai pada 9 Januari 2010. 
  3. Customer Showcase: Geng: Pengembaraan Bermula. Dicapai pada 9 Januari 2010.
  4. Aqmar Alladad. "Autodesk pelengkap animasi", Kosmo!, 14 Oktober 2009. Dicapai pada 9 Januari 2010. 
  5. Series Upin & Ipin Won in KLIFF 2007!!, Les Copaque, 30 November 2007. Dicapai pada 8 Januari 2010.
  6. http://www.youtube.com/watch?v=FR6S2ohv4yc
  7. A busy year for Les’ Copaque, Doreen Leong, The Edge Malaysia, 20 April 2010.
  8. "Monstas on the loose", The Star, 8 Disember 2009. Dicapai pada 9 Januari 2010. 
  9. Tuah Kembar Botak Cetuskan ‘Laksamana Upin & Ipin’, mStar Online, 28 Mei 2010. Dicapai pada 22 Ogos 2010.
  10. Bikin Lagu Upin & Ipin, PADI Tak Takut Ditentang, Kompas, 29 September 2010. Dicapai pada 17 Oktober 2010.
  11. Padi, Sahabat Selamanya... Lagu Tema Upin & Ipin, LCP Production Blog, 31 Ogos 2010. Dicapai pada 17 Oktober 2010.
  12. Upin Ipin: Les'Qopaque kumpul RM12 Juta, mStar Online, 1 Disember 2010. Dicapai pada 16 Disember 2010.
  13. Les'Copaque Production; The Official Production Blog
  14. U&I Original Merchandise
  15. Upin & Ipin Palsu?, Les Copaque, 4 April 2009. Dicapai pada 8 Januari 2010.
  16. "3,000 Baju Tiruan Upin & Ipin Dirampas", Bernama, 22 Mei 2009. Dicapai pada 8 Januari 2010. 
  17. Upin and Ipin in first musical, New Straits Times, 2 Mac 2012. Dicapai pada 17 Mac 2012.
  18. Kemeriahan Hari Kelab Upin & Ipin di Zoo Negara (Bahagian 1), LCP Production Blog, 14 Jun 2010. Dicapai pada 17 Oktober 2010.
  19. Album 'Seronoknya Raya Bersama Upin & Ipin' Dilancar, mStar Online, 28 Julai 2011. Dicapai pada 20 Ogos 2011.
  20. Upin & Ipin: Majalah Komik Upin & Ipin dipasaran. Dicapai pada 27 Mac 2010.
  21. 21.0 21.1 Budiey Isma. "Keputusan Pemenang KL International Film Festival KLIFF 07", Sensasi Selebriti, 3 Disember 2007. Dicapai pada 8 Januari 2010. 
  22. Sy Mussaddad Mahdi. "Apabila Upin dan Ipin masuk pawagam", Utusan Malaysia, 8 Februari 2009. Dicapai pada 16 Mac 2010. 
  23. SYABAS LES' COPAQUE ([1.jpg poster]), LCP Blog!, 24 Dis 2009. Dicapai pada 16 Mac 2010.
  24. Rating Upin & Ipin di Indonesia, LCP Blog!, 2 Sep 2009. Dicapai pada 16 Mac 2010. Pihak LCP tersilap melaporkannya sebagai 10.5 juta penonton.
  25. Fadil Abidin. "Upin dan Ipin vs Acara Anak di Televisi Kita", Analisa. Dicapai pada 16 Mac 2010. “sangat baik ditonton karena sarat edukasi dengan nuansa yang Islami, menghormati teman-teman lain yang berbeda suku dan agama sehingga tokoh-tokoh di dalamnya ada orang Melayu, China dan Tamil bahkan orang Indonesia.” 
  26. Arry Anggadha. "Upin dan Ipin Ramaikan Perayaan Nyepi", VIVAnews, 7 Mac 2010. Dicapai pada 16 Mac 2010. 
  27. Halaman Facebook Upin & Ipin Merupakan Salah Satu Halaman Popular Sepanjang 2011, Amanz, 8 Disember 2011. Dicapai pada 9 Disember 2011.
  28. 2012 Search Trends Malaysia – Most Searched TV Shows
  29. Majlis Sidang Media - Pelantikan Upin & Ipin Duta UNICEF Malaysia, Upin & Ipin @ Facebook, 8 Mac 2013.
  30. Shamala Velu. "Shout to the top", The Star, 21 Julai 2009. Dicapai pada 1 Mac 2010. 
  31. Upin & Ipin "The Most Successful Animation" di Malaysia Book of Records, LCP Production Blog, 13 Januari 2011. Dicapai pada 15 Januari 2011.

Pautan luar

Advertisement